SHAH ALAM – Tindakan empat sahabat merusuh menggunakan parang sehingga tular di media sosial membawa padah apabila masing-masing didenda RM2,900 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu R. Karthik, 33; R.J Omar Shankar, 39; Pandian, 25 dan C. S. Visvaraj, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Mereka membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja telah mengambil bahagian dalam rusuhan menggunakan parang di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Taman Sri Muda kira-kira pukul 11 pagi pada 13 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dalam mitigasinya memaklumkan Karthik dan Omar bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000.
“Karthik datang membantu Omar yang cedera dengan hari datang memakai anduh tangan. Mereka mangsa dan hanya mempertahankan diri,” katanya.
Sementara M. Partiben turut menjelaskan, Pandian dan Visvaraj juga adalah mangsa dalam kes itu dengan kedua-dua merupakan pengawal keselamatan.
“Malah, isteri Visvaraj kini menunggu waktu bersalin. Mereka sedar kesalahan dan mohon maaf. Mereka merayu denda minima kerana keluarga hanya mampu menyediakan RM2,000,” jelasnya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Kosmo! bulan lalu melaporkan seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan sebilah parang selepas diserang dua lelaki dalam pergaduhan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Taman Sri Muda.
Mangsa yang parah di tangan kiri kemudiannya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5















![[VIDEO] Sia-sia potong reben, jambatan roboh semasa majlis perasmian](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/jambatan-roboh2.jpg)
































