Sekolah cuti, tapir pula ‘masuk’ INTEJ

4 hours ago 6
Tangkap layar video tular seekor tapir tersesat di hadapan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (INTEJ)
  • Oleh NOR AINNA HAMZAH
  • 2 September 2026, 2:48 pm

JEMPOL – Ketika pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (INTEJ) sedang bercuti, kemunculan seekor tapir di kawasan sekitar laluan jalan raya berhampiran sekolah itu malam semalam pula mencuri perhatian netizen.

Rakaman video berdurasi pendek 15 saat yang memaparkan haiwan berkenaan berjalan di atas jalan raya dipercayai di hadapan kawasan sekolah tular di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan susulan aduan berhubung kehadiran tapir berkenaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati aduan tersebut berasas selepas pihaknya menemukan kesan tapak tapir di sekitar kawasan yang dimaklumkan pengadu.

“Pengadu memaklumkan kejadian tapir menyeberangi jalan pernah berlaku sebelum ini kira-kira empat bulan lalu dan kejadian kali ini merupakan yang kedua.

“Pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi melihat pergerakan haiwan berkenaan di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |