PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan dipuji ramai selepas membantu seorang lelaki yang sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 14 kilometer menuju ke Hospital Selayang kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk menaiki pengangkutan e-hailing.
Menerusi perkongsian video di akaun Facebook Bro Rider, dia terserempak dengan individu berkenaan pada Selasa lalu kira-kira pukul 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke Seri Gombak selepas menghantar pesanan pelanggan.
Menurutnya, dia melihat lelaki terbabit berjalan kaki sambil membawa beg galas dan topi keledar sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan bertanya keadaan sebenar.
“Bro berhenti dan tanya kenapa. Motor dia rosak dekat bengkel, tapi dia nak ke Hospital Selayang jalan kaki. Jauh juga, dekat 14 kilometer kot,” katanya dalam hantaran tersebut.
Lebih menyentuh hati apabila lelaki berkenaan memaklumkan dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk menaiki perkhidmatan e-hailing bagi meneruskan perjalanan.
Lelaki tersebut turut memaklumkan anaknya sedang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan paru-paru dan ketika ini ditemani isterinya.
Sehingga kini videonya mendapat lebih 111,000 tontonan, 4,700 tanda suka dan 221 perkongsian.
Perkongsian video itu meraih perhatian ramai yang tersentuh dengan keprihatinan ditunjukkan penghantar makanan terbabit dalam membantu insan memerlukan.
“Kesian dekat abang tu.. terima kqsih bro sudi bantu abang tu. Moga bertambah rezeki bro sekeluarga,” komen Hairil.
“Terima kasih bro, teringat aku pun dulu macam tu juga. Terpaksa jalan kaki sebab motosikal rosak. Tapi sama situasi macam ni ada orang tumpangkan, syukur sangat-sangat,” komen Wan.
“Mulianya hati orang yang membantu orang lain dalam kesulitan. Semoga lampu isyarat kau sentiasa hijau bang,” komen Rafi pula. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
8















































