Kerajaan dicadang wujud agensi kawal selia dana rakyat

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang mewujudkan satu agensi khusus bagi mengawal selia institusi yang menerima deposit atau menguruskan dana rakyat bagi memastikan kepentingan pendeposit dilindungi secara menyeluruh.

Cadangan itu dikemukakan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang berkata, mekanisme tersebut perlu membabitkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, kesemua institusi berkenaan kini mempunyai akta masing-masing serta berada di bawah seliaan kementerian atau institusi kerajaan yang berbeza.

“Sebagai contoh, TH diselia Jabatan Perdana Menteri (JPM), LTAT di bawah Kementerian Pertahanan, manakala KWSP dan KWAP pula diselia Kementerian Kewangan.

“Kegagalan mana-mana institusi ini bukan sahaja memberi kesan kepada pendeposit, malah turut memberi implikasi kepada kerajaan dan negara,” katanya ketika membahaskan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di sini, hari ini.

Radzi berkata, isu yang berlaku kepada TH perlu dijadikan pengajaran supaya kerajaan mewujudkan satu kerangka kawal selia lebih menyeluruh bagi semua institusi yang menguruskan dana rakyat.

Katanya, kegagalan TH sebelum ini turut menyebabkan kerajaan perlu menanggung sukuk berjumlah RM27.8 bilion bagi menyelamatkan institusi berkenaan.

“Belajar daripada isu TH, kerajaan perlu mewujudkan satu kerangka kawal selia menyeluruh membabitkan institusi berkenaan.

“Cadangan RCI supaya pengurusan dana TH diselia Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi. Apa akan berlaku jika perkara sama berlaku kepada LTAT atau KWSP? Apakah setiap kerosakan, kita akan buat RCI baharu?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengambil model Australia yang mempunyai Australian Prudential Regulation Authority (APRA) sebagai badan kawal selia institusi kewangan dan dana tertentu.

Dalam pada itu, Radzi meminta kerajaan memperincikan jumlah pelaburan yang dibuat TH serta pulangan yang disalurkan semula kepada institusi itu dalam bentuk dividen atau mekanisme lain bagi 14 pelaburan bermasalah yang dinyatakan dalam laporan RCI.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung pembelian 30 peratus saham Putrajaya Perdana Berhad oleh TH pada Disember 2014 bernilai RM193.5 juta daripada Cendana Destini Sdn. Bhd.

“Kita perlu ingat, dalam kes SRC International, Putrajaya Perdana ini dikaitkan dengan Jho Low, individu yang cukup sinonim dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mohon kerajaan sahkan sama ada TH membeli saham Putrajaya Perdana ini daripada Jho Low atau syarikat yang berkaitan dengan beliau?” katanya.

Pada masa sama, Radzi juga merujuk pandangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang menurutnya selari dengan cadangan tersebut mengenai sebuah super-regulatory body (badan pengawal selia super) untuk mengawal selia institusi terbabit.

“Ayuh, kita ambil ruang ini untuk melaksanakan satu penyusunan semula kerangka kawal selia yang menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |