‘RCI Tabung Haji hanya sia-sia jika tiada siapa didakwa’

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) hanya akan menjadi sia-sia sekiranya tiada pihak disiasat dan didakwa susulan kerugian berbilion ringgit yang didedahkan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, individu yang bertanggungjawab terhadap pengurusan TH ketika tempoh berkenaan perlu disiasat dan sekiranya terdapat kes, mereka perlu didakwa di mahkamah.

“Laporan RCI Tabung Haji ini telah menunjukkan bahawa Tabung Haji menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion.

“Saya tidak mahu berselindung mengenai siapa yang perlu disiasat. Pertama, bekas Pengerusi Tabung Haji yang memegang jawatan dari 2014 hingga 2018.

“Kedua, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO), ahli-ahli Lembaga Tabung Haji serta pegawai kanan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan RCI mengenai TH hari ini.

Menurut Hassan, siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pegawai bawahan sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan barisan pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab ketika itu.

“Jangan yang disiasat pegawai kecil-kecil, pegawai rendah. Secara berjemaah pengurusan Tabung Haji termasuk pengerusinya perlu disiasat.

“Kalau tidak dilakukan siasatan ini, RCI ini kalau dalam bahasa Inggeris boleh disebut hanya ‘mockery’ sahaja. Sia-sia,” katanya.

Hassan turut membangkitkan laporan kewangan TH bagi 2017 yang menurutnya menunjukkan keuntungan sebanyak RM3.4 bilion sedangkan berdasarkan piawaian perakaunan, institusi itu sebenarnya mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion.

Katanya, Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) melarang pembayaran dividen atau hibah sekiranya nilai aset lebih rendah berbanding liabiliti.

Dalam masa sama, dia turut membangkitkan kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan berkaitan pemalsuan akaun serta Seksyen 409 kanun sama berhubung pecah amanah jenayah.

Sehubungan itu, Hassan menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memandang serius dapatan RCI berkenaan dan memastikan tindakan susulan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya ulang, saya bersetuju sebagaimana pesan dan titah Yang di-Pertuan Agong, siasat sampai ke lubang cacing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |