SHAH ALAM – Helah sindiket menyewa rumah teres berhampiran lapangan terbang untuk dijadikan transit sebelum bunga ganja diserahkan kepada keldai dadah bagi pasaran antarabangsa terbongkar dengan rampasan bernilai RM21.62 juta.
Tiga serbuan menerusi Op Lejogaster di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan antara 12 Julai hingga 3 Ogos lalu membawa kepada penahanan sembilan lelaki berusia 22 hingga 51 tahun, termasuk lapan warga asing.
Tiga serbuan khas menerusi Op Lejogaster itu membawa kepada penahanan sembilan individu di sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan antara 12 Julai hingga 3 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua yang ditahan merangkumi keldai dadah, koordinator, transporter tersebut dengan sindiket aktif sejak April lalu itu dipercayai mendapatkan bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum menyeludupnya masuk ke Malaysia.
Menurutnya, bekalan dadah berkrnaan disimpan sementara di rumah teres berhampiran lapangan terbang di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada keldai dadah untuk diseludup ke luar negara.
“Serbuan pertama di hadapan lobi sebuah hotel di Bayan Lepas pada 12 Julai lalu menahan dua suspek dan merampas 60 bungkusan bunga ganja seberat lebih 62 kilogram (kg) dalam sebuah Mazda CX-5 serta sebuah rumah.
“Manakala, serbuan kedua pada 3 Ogos di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan pula menahan seorang suspek dan merampas 10 beg bagasi mengandungi 170 bungkusan bunga ganja seberat 175.76kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hussein berkata, tindakan susulan membawa kepada penahanan lima lagi warga asing di sekitar Sepang sebelum diteruskan kepada serbuan ketiga yang memberkas seorang suspek di Lapangan Terbang Bayan Lepas serta merampas 60 bungkusan bunga ganja seberat 31.65kg.
“Saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang lagi positif methamphetamine, amphetamine dan benzo.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pelbagai harta turut disita termasuk dua utas rantai serta cincin selain seutas gelang bagi tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
14
















































