‘Tiba-tiba dia beri notis 24 jam, saya pun terkejut’

7 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zarul Umbrella menafikan dakwaan kini bermasam muka dengan CK Faizal susulan keputusan pengacara itu mengundurkan diri sebagai hos bersama dalam podcast (audio siar) Borak Dalam Galley (BDG).

Zarul atau nama sebenar, Zairulkefli Husin, 53, berkata, keputusan dibuat CK untuk berundur daripada saluran podcast diasaskannya itu mungkin disebabkan mahu memberi fokus terhadap perkara lain.

“Sebenarnya sebelum itu kami ada penggambaran raya bersama. Selepas itu, tiba-tiba dia beri notis 24 jam (untuk mengundurkan diri) — jadi saya pun terkejut.

“Tapi bila fikir semula, mungkin dia rasa sudah terlalu lama memberi fokus kepada podcast sahaja. Mungkin dia mahu cuba benda lain.

“Namun, sebab sebenar saya pun tidak tahu kerana hanya CK yang boleh jawab. Saya hormat keputusan dia dan saya teruskan sahaja dengan apa yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Seribu Rahmat Umbrella, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai hubungannya bersama CK, Zarul berkata, hubungan mereka masih baik dan tiada sebarang perselisihan faham seperti diperkatakan segelintir pihak.

“Saya tiada masalah dengan dia. Dua hari lalu kami ada berjumpa dan masih bergurau dan ketawa seperti biasa.

“Kami tidak bergaduh dan tiada sebarang isu. Sampai hari ini saya masih sayangkan dia kerana BDG juga mula dikenali disebabkan dirinya.

“Jadi, saya tidak boleh lupa perkara itu kerana dia antara individu yang banyak membantu memperkenalkan BDG kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, pada 21 Mac lalu, CK atau nama sebenarnya, Che Kamarul Faizal Che Kamaruddin mengumumkan pengundurannya daripada BDG selepas tiga tahun berkhidmat sebagai pengacara menerusi hantaran dalam Instagram.

Dalam perkembangan lain, Zarul bakal mengadakan konsert bersama kumpulan Umbrella pada 6 Jun 2026 di Universiti Utara Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |