NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi wanita tersohor Kelantan yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok di sini pada 1 November lalu kelihatan tertekan pada minggu pertama ditempatkan di Penjara Narathiwat kira-kira lebih sebulan lalu.
Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat, Superintendan Surin Chanthep berkata, beliau pada awalnya melahirkan rasa simpati kepada penyanyi tersebut apabila melihat keadaan wanita itu semasa berada di dalam tahanan.
Menurutnya, meskipun tertekan, wanita itu tetap menjalankan setiap rutin harian sebagai seorang Islam dan tahanan di dalam penjara.
“Mungkin dia rindu kepada keluarga di rumah. Selain itu, dia juga merupakan satu sosok yang dikenali dan mungkin ada dalam kalangan tahanan yang mengenalinya sebagai penyanyi di Kelantan.
“Jadi, itu mungkin merupakan salah satu faktor dia stres. Berdasarkan pemerhatian saya, dia sudah mula dapat bergaul dengan tahanan lain selepas beberapa berada dalam tahanan,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Surin memberitahu, keadaan wanita tersebut ketika ini juga baik-baik sahaja terutamanya selepas dia menjalani sesi kaunseling, motivasi dan kelas agama yang disediakan oleh pihak penjara.
Menurutnya, pihak penjara juga memberi layanan sama rata kepada semua tahanan sama ada warga tempatan atau dari Malaysia.
“Wilayah Selatan Thailand terutamanya Narathiwat mempunyai ramai masyarakat yang beragama Islam. Jadi, pihak penjara tidak pernah melakukan diskriminasi kepada tahanan untuk mempraktikkan agama masing-masing.
“Saya lihat perkembangan emosi tahanan yang merupakan penyanyi dari Kelantan itu semakin baik daripada hari ke hari,” katanya.
Menurutnya, kesemua tahanan wanita di penjara di Thailand tertakluk dan dijaga oleh Peraturan Bangkok (Bangkok Rules) yang ditetapkan sejak 14 tahun lalu.
Menurutnya, perkara yang ditetapkan di dalam peraturan itu merangkumi garis panduan khusus kepada tahanan wanita dan anak-anak yang terlibat jenayah semasa berdepan sistem keadilan.
“Peraturan itu akan memenuhi keperluan khusus tahanan wanita semasa tempoh pemenjaraan. Ia merangkumi prosedur kemasukan, kesihatan, perlakuan kemanusiaan dan melibatkan kanak-kanak yang bersama ibu mereka di dalam penjara,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, tahanan reman itu dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, kesemua individu itu akan dihantar ke Penjara Wilayah Narathiwat sepanjang tempoh tersebut.
Mengikut undang-undang di Thailand, kesalahan memiliki 6,000 pil kuda boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 Bath atau RM25,880. – KOSMO! ONLINE