SERING kita dengar perbualan ini, “Kalau nak keluar rumah, terlupa bawa dompet tak apa, jangan tak bawa handphone!” yang mencerminkan kebergantungan masyarakat hari ini kepada telefon pintar.
Antara yang paling menyerlah ialah penggunaan peranti ini untuk e-pembayaran seperti e-dompet yang menggantikan tunai, serta pengimbasan kod respons pantas (QR) yang memberikan kemudahan, keselamatan dan keselesaan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat menyambut baik perkembangan ini, malah aktif menggalakkan penghijrahan ke arah e-pembayaran bagi meningkatkan kecekapan sistem kewangan negara.
Laporan firma penyelidikan pasaran, Ipsos (November 2024) menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia menggunakan e-pembayaran, meskipun masih ada sekitar 45 peratus rakyat Malaysia yang bergantung kepada wang tunai, terutamanya di kawasan luar bandar.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid baru-baru ini berbicara kepada Kosmo! mengenai letusan transaksi e-pembayaran yang dianggap bakal menjadi pemangkin penting kepada ekonomi digital negara.
KOSMO!: Kenapa penting untuk kita beralih kepada e-pembayaran?
AIMI ZULHAZMI: Pertama, pengendalian tunai adalah mahal, dengan kos-kos tersembunyi seperti upah pekerja, perbelanjaan keselamatan, infrastruktur dan pentadbiran membawa beban kewangan kepada institusi dan perniagaan.
Penghijrahan kepada pembayaran elektronik menjimatkan kos percetakan sambil meningkatkan kecekapan sistem pembayaran secara menyeluruh.
BNM menganggarkan bahawa peralihan ke sistem pembayaran secara elektronik boleh menjana penjimatan tahunan sehingga satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perkara ini bukan terhad kepada peniaga di bandar. Transformasi ini turut mencakupi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kini, kedai makan, kedai runcit, pasar malam, pasar tani, pasar pagi atau jualan barangan di kawasan luar bandar turut menyediakan kod QR, menjadikan transaksi lebih pantas dan mudah.
Dalam masa yang sama, jualan atas talian turut menunjukkan perkembangan luar biasa. Platform e-dagang sudah menjadi norma untuk berbelanja.
Perniagaan runcit dan borong juga mengadaptasi operasi dan pemasaran mereka dengan menggabungkan teknologi termasuk memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan produk, serta kolaborasi dengan pempengaruh.

Apa antara kelebihan pembayaran digital berbanding tunai?
Peningkatan penggunaan e-dompet turut disumbangkan oleh rangsangan insentif menarik seperti pulangan tunai, diskaun, mata kesetiaan dan bantuan kerajaan sepanjang pandemik yang lalu.
Generasi Y dan Z (berumur antara 18 dan 44 tahun) memimpin trend ini dengan kecenderungan kepada penyelesaian digital, manakala Alpha dan Beta (lahir antara 2025 dan 2039) dijangka menjadi pengguna tegar dalam dekad akan datang.
Melihat kepada trend semasa, pengguna semakin cenderung mencari aplikasi e-pembayaran yang lengkap dan menyeluruh dengan menggabungkan kad debit, kredit dan pelbagai dompet digital dalam satu platform.
Ini membolehkan transaksi lebih lancar, mudah, dan selamat untuk pengguna dan peniaga. Kaedah e-pembayaran akan terus berkembang pada kadar yang sihat pada tahun-tahun mendatang apabila lebih ramai menyedari kelemahan pengendalian tunai.
Bagaimana dengan golongan lebih berusia dan penduduk luar bandar?
Golongan berumur meskipun memiliki kuasa beli lebih tinggi, masih perlahan dalam penerimaan e-pembayaran. Oleh itu, pendekatan yang inklusif penting bagi memudahkan penggunaan dan membina keyakinan mereka.
Pekerja asing juga merupakan segmen penting, di mana aplikasi yang menawarkan pemindahan wang ke negara asal bersifat murah dan mudah, tanpa melalui pihak ketiga menjadi tarikan utama.
Malaysia seperti kebanyakan negara membangun, menghadapi cabaran sama, iaitu masih terdapat penduduk yang tidak mempunyai akaun bank, sambungan internet terhad di kawasan luar bandar, infrastruktur pembayaran yang belum dibangunkan sepenuhnya, dan kepercayaan rendah terhadap e-pembayaran.
Ini disebut sebagai ’Digital Divide’, yang masih memberi kesan kepada sekitar lima peratus populasi. Namun, di sinilah potensi terbesar e-pembayaran untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan bagi komuniti yang tidak menerima kemudahan perkhidmatan bank, seterusnya menggalakkan kemasukkan mereka ke dalam ekonomi arus perdana.
Bagaimana pula dengan aspek keselamatan?
Walau apa pun kelebihannya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan. Penyedia perlu sentiasa memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan diyakini. Teknologi seperti penyulitan data dan pengesahan identiti mesti diperkasa agar maklumat pengguna kekal dilindungi.
Dalam dunia digital yang serba pantas ini, keselamatan siber bukan lagi pilihan, ia adalah keperluan mutlak demi menjamin kelangsungan dan kepercayaan terhadap sistem kewangan digital kita.
Peningkatan penggunaan e-pembayaran akan terus menjadi pemacu utama ekonomi digital negara, yang dijangka menyumbang 25 peratus kepada KDNK menjelang 2025.
Peralihan ini bukan sekadar satu keperluan, ia langkah penting menuju masa depan ekonomi yang lebih mampan, cekap dan inklusif.