KOTA BHARU – Dua sekawan dicekup selepas dipercayai melarikan sebuah peti besi yang mengandungi wang tunai, barangan emas, perak dan jam tangan berjenama bernilai RM1.1 juta selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Paya Rambai, di sini pada Rabu lalu.
Kejadian disedari oleh mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an yang semasa pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan di rumah itu mendapati, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semasa mangsa yang juga merupakan pesara kerajaan tiada di rumah.
Menurutnya, mangsa yang baru pulang dari Sarawak pada hari tersebut mendapati pintu gelangsar rumahnya sudah diumpil.
“Wanita itu kemudian memeriksa sebuah peti besi miliknya yang mengandungi sejumlah wang tunai mata wang asing, emas, perak dan beberapa bentuk jam tangan berjenama yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta sudah tiada.
“Bertindak atas maklumat itu, pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menahan dua lelaki berusia lewat 20-an kira-kira pukul 6.15 petang kelmarin,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, kedua-dua suspek dicekup dalam serbuan berasingan di dua buah rumah di sini.
“Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal manakala seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Sebuah peti besi dan beberapa barangan berharga milik mangsa turut dirampas bersama kedua-dua suspek,” ujarnya.
Mohd. Rosdi berkata, semakan mendapati, kedua-dua lelaki yang positif dadah itu mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
Menurutnya, mereka direman selama enam hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE