MUAR – Dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki serta merogol seorang pelajar di dalam kebun kelapa sawit di daerah ini, 7 Julai lalu.
Bagaimanapun hanya seorang tertuduh di bawah umur berusia 17 tahun sahaja mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Rakannya, Alif Hakim Hamil, 19, mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim Nariman Badruddin, kedua-dua tertuduh merogol penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 20 tahun di dalam sebuah kebun sawit di sini antara pukul 9 hingga 11.30 malam, 7 Julai lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala Alif Hakim diwakili peguam, Salmi Hamdan Sabran.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk serahan dokumen dan membenarkan ikat jamin RM8,000.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, mereka didakwa bersama-sama memeras ugut teman lelaki pelajar IPTA terbabit dengan meminta menyerahkan wang tunai RM250 dengan kejadian berlaku pada waktu, lokasi dan tarikh sama.
Bagi kesalahan ini, mereka boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun mana-mana dua hukuman ini.
Majistret Suzana Mokhtar kemudiannya menetapkan 28 September ini untuk fakta dan perintah serta laporan akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) terhadap tertuduh bawah umur itu.
Pada tarikh sama juga ditetapkan terhadap Alif Hakim untuk serahan dokumen.
Mahkamah membenarkan pesalah juvana itu diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala Alif Hakim, RM2,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian dan Nur Ameerah Allaudeen. – KOSMO! ONLINE