Doktor perdaya pesakit buka baju, lari setempat dicekup kali kedua

1 week ago 15

GEORGE TOWN – Seorang doktor pakar forensik di sebuah hospital kerajaan di sini sekali lagi dicekup polis atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.

Suspek lelaki warga tempatan itu diberkas kira-kira pukul 9.15 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL).

Perintah reman ke atas suspek lelaki berusia 43 tahun itu diperoleh selama empat hari bermula hari ini.

Kosmo! difahamkan, doktor terbabit bekerja sambilan di klinik berkenaan.

Mangsa seorang wanita membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas menyedari doktor tersebut adalah orang sama yang melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap dirinya di sebuah klinik swasta, tahun lalu.

Sebelum ini, suspek ditahan polis pada 26 Februari lalu susulan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja di sebuah hospital. Bagaimanapun dia dibebaskan dengan jaminan polis sebaik perintah reman terhadapnya berakhir pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pada Selasa lalu, kira-kira pukul 10.16 malam, seorang wanita warga tempatan berumur 30 tahun membuat laporan polis tentang satu kejadian kelakuan tidak senonoh oleh doktor terhadapnya di sebuah klinik swasta di kawasan Pulau Tikus.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 28 Jun 2023, kira-kira pukul 6.30 petang di mana mangsa pergi ke klinik tersebut untuk mendapatkan laporan keputusan ujian darah.

“Mangsa berjumpa dengan suspek yang bertugas sebagai doktor dalam bilik rawatan lalu diperdaya oleh suspek untuk membuka baju dan berlari setempat atas tujuan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek juga disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kesihatan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |