JOHOR BAHRU – Seorang doktor ditahan selepas disyaki membunuh isteri dan anaknya yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn di sini, 31 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang berusia 33 tahun diberkas pada 3 Januari lalu.
Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati, mangsa yang berusia 36 tahun ditemui kira-kira pukul 8.20 pagi dengan kesan kelar pada leher bersama anak lelakinya yang sudah tidak bernyawa.
“Kanak-kanak berusia empat tahun itu ditemui dalam kesan kebiruan dipercayai akibat tekupan.
“Kedua-dua mayat dua beranak dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
AB RAHAMANAb Rahaman berkata, susulan itu, polis menahan suspek di sekitar Johor Bahru dan merampas sebilah pisau dan bantal serta sarung.
Katanya, suspek direman selama 13 hari bermula 4 hingga 16 Januari.
“Hasil semakan rekod lampau suspek tidak mempunyai rekod jenayah selain ujian air kencing juga negatif.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru esok dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 201 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
7

















































