NARATHIWAT, THAILAND – Dua warga Thailand terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima tahun selepas ditipu sindiket yang menawarkan pekerjaan di Malaysia.
Meskipun kejadian itu sudah berlalu hampir 18 tahun lepas, dua lelaki tersebut masih terkenang kejadian mereka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah masjid di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ketika itu, Ibrahim, 70, dan Sabri, 60, bersama lebih 100 warga Thailand dijanjikan peluang pekerjaan lebih cerah di Malaysia, namun tidak menyangka mereka akhirnya terpaksa tinggal di balik tirai besi.
Ibrahim berkata, dia yang ketika itu berusia awal 50-an bekerja sebagai penoreh getah di Tak Bai dekat sini menerima pelawaan daripada dua individu Thailand untuk membawanya bekerja di Malaysia.
Lelaki itu dijanjikan pekerjaan dalam sektor pertanian di Kelantan kerana situasi di Tak Bai ketika itu masih tegang susulan peristiwa berdarah yang berlaku pada 2004.
“Selepas berfikir masak-masak, saya bersetuju untuk mengikut perancangan kedua-dua lelaki itu. Saya masih ingat lagi, saya memasuki Malaysia melalui kawasan pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Saya dan beberapa yang lain diminta untuk pergi ke sebuah masjid di kawasan tersebut kerana ada yang sudah menunggu kami di situ. Apabila sampai di masjid itu, saya bertemu lebih 30 orang warga Thailand yang senasib dengan saya.
“Kami bersama-sama menunaikan solat maghrib dan makan malam di situ. Tidak lama kemudian, masjid itu diserbu oleh pihak berkuasa. Saya amat terkejut kerana baru sahaja menjejakkan kaki ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Ibrahim memberitahu, dia bersama yang lain dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah sebelum dihumban di Depot Tahanan Ajil, Terengganu selama lima tahun atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, dia menyesal apabila percaya dengan ajakan dua lelaki yang menjanjikan pekerjaan di Malaysia sedangkan ketika itu dia sudah ada pekerjaan di Thailand untuk menyara isteri dan lima orang anak.
“Ahli keluarga mengetahui berada di dalam tahanan di Malaysia selepas dua tahun saya berada di sebalik tirai besi. Mereka menyangka saya sudah selamat bekerja di sana.
“Pada saya, warga Thailand tidak seharusnya mudah terpedaya dengan janji-janji pihak tertentu yang menawarkan peluang pekerjaan di sana. Akhirnya, kerja tidak dapat, terpaksa meringkuk pula dalam penjara,” katanya.
Ibrahim memberitahu, dia sempat tinggal di rumah adiknya selama dua tahun di Chenulang, Kuala Krai selepas dibebaskan daripada tahanan.
Menurutnya, dia ketika itu, bekerja semula sebagai penoreh getah sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga di Tak Bai.
Sementara itu, Sabri turut melalui pengalaman sama seperti Ibrahim apabila dia juga ditawarkan oleh dua individu di Tak Bai untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor pertanian di Malaysia pada 2007.
Menurutnya, sindiket yang menawarkan pekerjaan kepadanya di sebuah ladang getah di Pasir Mas itu menjanjikan gaji yang lebih lumayan berbanding di kawasan Selatan Thailand.
“Terdapat beberapa tekanan ketika itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk bergerak seorang diri dengan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram.
“Apabila menerima tawaran pekerjaan yang boleh lari daripada tekanan di tanah air sendiri, saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju untuk ke Malaysia.
“Warga Thailand yang masuk secara haram ke Malaysia diarahkan untuk berkumpul di sebuah masjid di Rantau Panjang sebelum ejen kepada sindiket itu akan mengambil kami,” ujarnya.
Sabri berkata, tidak berapa lama berada di masjid itu, pihak berkuasa Malaysia menyerbu kawasan tersebut dan menahan kesemua warga Thailand yang sememangnya tiada dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, dia tidak menyangka hasratnya untuk bekerja dan memperoleh pendapatan lumayan di Malaysia berakhir dengan tragedi apabila meringkuk di dalam penjara di Depot Tahanan Ajil.
“Saya sangat sedih dan terkenangkan keluarga di rumah. Saya akui tindakan mengikut kata-kata sindiket merupakan satu kesilapan besar yang dibuat dalam hidup.
“Saya difahamkan, sekiranya seramai lebih 100 individu berjaya memperoleh pekerjaan di Malaysia, mereka akan membawa masuk hampir 1,000 lagi rakyat ke sana.
“Bagaimanapun, usaha membawa masuk lebih ramai lagi warga Selatan Thailand tidak berhasil apabila percubaan pertama gagal. Selain itu, difahamkan dua individu yang menjadi ejen sindiket itu juga meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE