‘Dah setahun.. Ini hukuman dan pengajaran buat saya yang alpa’

11 hours ago 7

PETALING JAYA – Setahun menduda tanpa pasangan di sisi, usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red mengakui perceraian dengan penyanyi Adira Suhaimi merupakan momen paling hitam dalam sejarah hidupnya.

Ujar Adnan, 47, perpisahan tersebut diterimanya sebagai hukuman atas kekhilafan lampau sekali gus menghargai segala pengorbanan bekas isterinya itu sepanjang tempoh berumah tangga.

“Genap setahun peristiwa hitam (bercerai) saya, ini pengajaran dan hukuman ke atas saya yang alpa.

“Terima kasih Adira selama ini menjadi isteri saya. Semoga awak berbahagia dan sihat untuk menjaga anak-anak saya.

“Saya akan kembali nanti,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Dalam masa sama, penggunaan tanda pagar seperti #sumpahakutakcarilain, #akuakankembalimenjadisuamiyangbertanggungjawab dan #akusucidansetia turut mencuri perhatian netizen yang menganggap Adnan masih menaruh harapan untuk kembali bersama pelantun Pujaan Hati itu.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan pelbagai reaksi berhubung pengakuan terbuka usahawan itu.

“Harap Datuk betul-betul berubah kalau nak rujuk semula. Adira berhak dapat kebahagiaan sebenar,” tulis seorang pengguna TikTok.

“Semoga jadi pengajaran besar buat Datuk Red. Jangan ulangi kesilapan lalu,” komen seorang lagi netizen.

“Apa pun terjadi, tumpukan perhatian pada anak-anak dahulu. Mereka lebih perlukan kasih sayang ayah,” ujar netizen.

Terdahulu, Adnan pernah menyatakan hasrat mahu menikahi semula Adira pada Aidilfitri 2025, namun niat itu terpaksa ditangguhkan disebabkan faktor kewangan.

Untuk rekod, Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.

Sementara itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim turut berakhir dengan penceraian pada 13 Mei tahun sama.

Pasangan tersebut dikurniakan lima cahaya mata.

Selain itu, dia pernah berkahwin seawal usia 20 tahun, namun rumah tangga tersebut juga berakhir dengan perpisahan selepas lima tahun dan dikurniakan dua orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |