PETALING JAYA – Seperti tidak berkesudahan, penyanyi dan pelakon Didi Astillah meluahkan rasa bengang terhadap aktres Ruhainies sekali gus mempertahankan kakaknya, pelakon Bella Astillah, yang didakwa menjadi mangsa fitnah.
Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazillah Awang Astillah, 28, menafikan dakwaan bahawa Bella terbabit dalam merancang kes tangkap khalwat bekas suaminya, Aliff Aziz, bersama Ruhainies.
“Tolong hentikan sebar fitnah kononnya kakak saya perangkap. Saya tahu awak ada mesej artis dalam industri bergelar Datuk untuk mengutuk dan fitnah kakak rancang semua ini.
“Ingat kakak saya mahu anaknya kehilangan bapa? Lama dia bertahan sampai rujuk balik, bertahan lagi lima tahun, cuba fikir!
“Macam budak sekolah cari orang untuk sebelahkan awak. Kenapa tak move on lagi? Orang salah tak tenteram, sibuk nak beritahu walau tak ditanya,” katanya menerusi Instagram Story.
Menurut pelakon drama Leha, Leya, Lawa itu, tindakan Ruhainies cuba mempengaruhi individu lain untuk bercakap buruk tentang Bella jelas melampaui batas.
Dalam hantaran sama, Didi turut berkongsi semula rakaman temu bual Ruhainies yang didakwa meraih simpati atas dugaan dilalui sepanjang tahun ini sekali gus mencabar pelakon berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan Bella sebelum ini dianggap sebagai fitnah.
Menurutnya, kebenaran tetap akan terbukti tanpa perlu bermain sentimen simpati.
“Pada saat kakak saya buat posting dengan meletakkan nama awak di media sosial kerana berjaya meruntuhkan rumah tangganya dengan kes khalwat itu, kenapa tak saman? Berani kerana benar.
“Tapi ada hikmah kes khalwat terjadi. Kalau tidak, mungkin ada kemaafan yang ke-12 berlaku.
“Kenapa tak move on lagi ya? Siapa yang bercerai ni, awak ke kakak saya? Dah nak masuk 2025 tak penat ke jadi jahat?” tulisnya.
Nama Ruhainies dan Aliff Aziz mula menjadi perhatian selepas mereka ditangkap atas dakwaan khalwat pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian memfailkan cerai terhadap Aliff, dan pasangan itu sah berpisah pada 13 Jun. – KOSMO! ONLINE.