PETALING JAYA – Prestasi perdagangan Malaysia mencatat pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila secara rasmi melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali.
Berdasarkan statistik rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan global Malaysia mencecah RM3.061 trilion, meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun 2024.
Pencapaian ini membuktikan daya tahan dan daya saing global Malaysia yang kekal kukuh meskipun berdepan landskap geopolitik yang mencabar serta penstrukturan semula rantaian bekalan global.
Jumlah eksport mencapai paras tertinggi sebanyak RM1.607 trilion, manakala jumlah import mencatatkan RM1.455 trilion terdiri daripada barangan perantaraan dan barangan modal dengan gabungan sumbangan sebanyak 64.2 peratus.
Mengulas pencapaian itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani.
Menurutnya, pertumbuhan pada 2025, khususnya di pasaran dan dalam kalangan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), diperkukuhkan melalui lawatan rasmi oleh Perdana Menteri ke rantau seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah yang telah membuka laluan kepada hubungan ekonomi yang lebih mendalam.
“Pencapaian bersejarah ini mencerminkan kepimpinan mantap Kerajaan Madanj serta komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak berkepentingan,” ujarnya.
Sementara itu, Reezal turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang berjaya mempromosi dan memperluas eksport komoditi utama negara khususnya minyak sawit, ke pasaran utama dan baharu semasa menjawat Menteri Perladangan dan Komoditi.
Katanya, eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit merangkumi 7.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada RM124.86 bilion.
Tambahnya, perkara itu didorong oleh harga eksport yang lebih tinggi serta pengembangan ke pasaran utama dan baharu seperti India, China, Turkiye, Afghanistan, Togo, Tanzania, Kenya, Nigeria, Mozambique and Yemen.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya kekal komited dalam peranannya untuk memudah cara dan menyokong perusahaan, kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti perniagaan dalam menangani cabaran global.
“Kami akan terus mempergiatkan program promosi dan pembangunan eksport bagi memastikan produk dan perkhidmatan Malaysia berjaya menembusi pasaran eksport
baharu.
“Fokus kami adalah untuk memperkasa pengeksport tempatan, khususnya PKS,
dalam mengharungi penstrukturan semula rantaian bekalan dan risiko perlindungan perdagangan dengan memanfaatkan rangkaian global serta FTA yang dimiliki Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































