‘Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri’ 

13 hours ago 5

SERDANG – Umat Islam diminta menghentikan perbalahan antara satu sama lain, mengelakkan daripada menimbulkan kebencian serta mengapi-apikan berita fitnah demi memelihara kesejahteraan dan keamananan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perbuatan sedemikian tidak akan menguntungkan mana-mana pihak sekalipun kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran.

“Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri, meniup sentimen kebencian atas nama agama, berperang di media sosial, mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecah belah keluarga dan masyarakat.

“Akhirnya bak peribahasa ‘yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang’,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025 Peringkat Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menghadiri majlis sambutan berkenaan.

Mohd. Na’im berkata, negara baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan kali ke-68, jadi rakyat diajak untuk memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi, merapatkan saf perpaduan, menjadi pendamai menyuburkan keharmonian sekali gus membangunkan gagasan Malaysia Madani.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus diperkasa untuk memastikan program-program penghayatan Islam benar-benar berkesan bagi menangani isu-isu sosial dan kemasyarakatan.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul kali ini, Mohd. Na’im berkata, ia membawa makna besar serta menyeru umat Islam untuk menghayati risalah serta peribadi mulia Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

“Kelahiran Baginda Rasulullah telah membawa sinar terang benderang, memadam kabut kejahilan, menyampai khabar gembira, merawat duka lara, mengangkat
keadilan, menolak kezaliman, membimbing insan dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang menawan.

“Al-Quran dan as-Sunnah disampaikan untuk mengukuh taqwa dan iman, membawa rahmat buat sekalian alam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |