SHAH ALAM – Tindakan segelintir warga asing menggunakan ‘pasport kosong’ sejak lima tahun lalu dan permit kerja berjaya dibongkar dalam serbuan sebuah kilang bingkai cermin di kawasan Perindustrian Meru di sini hari ini.
Serbuan selama sejam bermula pukul 11 pagi itu berjaya menahan 43 individu termasuk pasangan suami isteri berusia 21 hingga 45 yang rata-ratanya warga Myanmar dan Bangladesh.
Sepanjang operasi itu, terdapat segelintir warga asing cuba melarikan diri termasuk terjun dari asrama selain menyamar untuk bertemu rakan bagi mengelakkan ditangkap Jabatan Imigresen.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pasport kosong berkemungkinan warga asing Myanmar tersebut pernah berada negara ini sebagai pekerja am atau pelancong sehingga pasportnya tamat.
Katanya, warga asing kemudiannya membuat pasport baharu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita panggil kosong sebab langsung tiada permit kerja dan tiada pengesahan tanpa cop masuk ke negara ini.
“Ini seterusnya menimbulkan keraguan berikutan tiada pengesahan keberadaannya di negara ini meskipun pasportnya sah sehingga 2019,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Jelas beliau, ada warga asing didapati telah tinggal lebih masa hingga lima tahun dengan menyalahgunakan permit kerja mereka daripada sektor pembinaan ke kilang.
Ujarnya, siasatan awal mendapati warga asing yang ditahan telah bekerja sejak dua tahun lalu di kilang itu.
“Malah 32 warga asing didapati juga mempunyai kad perakam waktu bekerja. Ini menunjukkan majikan mengambil sikap sambil lewa prosedur yang betul dalam pengambilan pekerja asing.
“Tambahan, pekerja asing ini sendiri datang dan majikan mengambil kesempatan itu. Kalau ikut kos bagi satu pekerja asing adalah RM10,000. Jadi, majikan ini memang ‘berani’ lakukan hal sedemikian,” katanya.
Justeru, siasatan lanjut akan dilakukan terhadap majikan warga asing dengan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) dan Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63.
“Berkaitan asrama itu, kita salurkan maklumat akan disalurkan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun yang ditahan memaklumkan dia memasuki negara ini selama 12 tahun lalu.
“Saya sudah kahwin lima tahun lalu dan bawa isteri sekali disebabkan sini senang mahu cari kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE