Bergson masih layak dinaturalisasikan

1 day ago 5

SKUAD Harimau Malaya tidak boleh melupakan hasrat untuk menaturalisasi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva meskipun sudah memiliki ramai pemain berdarah warisan ‘gred A’ yang baharu.

Pandangan tersebut disuarakan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang menyifatkan kualiti pada Bergson mampu menambahkan lagi sengat Harimau Malaya dalam misi mencapai kejayaan di pentas Piala Asia 2027 nanti.

Katanya, faktor usia Bergson yang mencecah usia 34 tahun bukanlah isu besar, sebaliknya kemampuan dan pengalamannya boleh dijadikan sandaran nanti.

“Walaupun dah ada ramai pemain warisan baharu, kita tidak boleh lupakan Bergson dan rugilah kalau kita tak dapatkan (naturalisasikan) khidmatnya.

“Dia boleh lagi mantapkan pasukan kebangsaan dan mungkin menjadi pengganti kepada pemain-pemain terbabit jika (ada) mengalami kecederaan nanti,” katanya.

Bergson mencipta rekod baharu Liga Super apabila meledak 31 gol semusim termasuk hampir menyamai jumlah jaringan sepanjang zaman dengan penyerang legenda tempatan, Indra Putra Mahayuddin selepas mengumpul 105 gol keseluruhan.

Awal tahun ini, nama Bergson antara yang disebut pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk diserapkan sebagai pemain naturalisasi baharu selain tonggak Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo.

“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi lima tahun di Malaysia,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Namun, Harimau Malaya ketika ini dilihat sudah cukup ampuh apabila memiliki penyerang berdarah warisan seperti Immanol Machuca, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang berusia jauh lebih muda berbanding Bergson.

Bergson yang pernah mewakili kelab ternama Brazil, Gremio telah menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2021 dan dijangka boleh dinaturalisasi seawal tahun depan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |