‘Baru nak ambil tali ikat banner, terus kena tahan’

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – “Baru ambil barang, tak sampai lima minit, dah kena tahan.”

Itu luahan seorang pekerja kontraktor pembersihan warga asing berusia 28 tahun selepas ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, hari ini.

Lelaki warga Indonesia itu berkata, dia hanya menunggang sebuah motosikal milik majikannya untuk mengambil tali ikat banner (banting) di kawasan berhampiran sebelum ditahan penguat kuasa.

“Saya nak ambil tali saja untuk ikat banner (banting). Tempat pun dekat, lima minit je. Tak sangka terus kena tahan,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Menurutnya, dia mengakui tidak memiliki lesen memandu dan jarang menunggang motosikal kerana kebiasaannya bergerak menggunakan kenderaan lain.

“Saya memang tak ada lesen. Selalunya saya tak naik moto (motosikal). Hari ini saja sebab nak ambil barang (tali banting), tiba-tiba penguat kuasa datang dan tahan,” ujarnya.

Tambahnya, tali yang dibawanya itu sepatutnya digunakan bagi kerja pemasangan banting, namun tugasan berkenaan terpaksa dibatalkan selepas dia ditahan.

Dalam operasi sama, wartawan Kosmo! yang menyertai Ops Pewa turut mendapati terdapat segelintir penunggang motosikal warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

Bagaimanapun, tindakan melarikan diri itu berjaya dipatahkan selepas pihak berkuasa bertindak pantas menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang berkenaan sebanyak 323 kenderaan diperiksa dengan 58 daripadanya dikenakan tindakan.

“Kenderaan yang disita melibatkan sebanyak 52 buah motosikal, lori barangan (lima) dan kereta (satu).

“Selain itu, sebanyak 283 notis dikeluarkan, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tidak mempunyai perlindungan insurans,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |