DALAM usaha memastikan tahap fizikal berada dalam keadaan terbaik, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang enggan terburu-buru untuk kembali menyertai kejohanan kompetitif.
Azizulhasni yang baru sahaja mengumumkan untuk berlumba secara profesional berkata, dia perlu berhati-hati dalam usaha mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow tahun depan.
Atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu menjelaskan, dia akan bermula dari bawah terlebih dahulu sebelum kembali mempamerkan kayuhan bagi memburu gelaran dalam kejohanan disertai.
“Objektif utama tahun ini adalah cuba melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia (Oktober), sekurang-kurangnya dalam acara berpasukan tetapi saya memerlukan masa sekurang-kurangnya empat hingga lima bulan bagi mendapatkan rentak.
“Sebenarnya saya boleh sahaja memaksa diri tetapi kalau cepat sangat (menyertai kejohanan), itu boleh memberi kecederaan jangka panjang. Tahun depan ada kejohanan besar dan itulah sasaran saya,” katanya.

Kelmarin, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengumumkan untuk bergerak secara profesional dengan mewakili Team Azizul dan akan beraksi dalam sirkit perlumbaan dianjurkan Kesatuan Badminton Antarabangsa (UCI).
Meskipun sudah tidak terikat dengan skuad kebangsaan, namun Azizulhasni diberikan geran sebanyak RM200,000 oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membantunya untuk melakukan persiapan bagi menghadapi perlumbaan.
“Kalau kejohanan-kejohanan seperti Sukan Asia, biasanya di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN. Kebiasaannya mereka akan buat pemilihan sama seperti sebelum ini.
“Sekarang saya sudah bergerak secara berasingan, jadi mereka akan menilai semua prestasi dari semasa ke semasa. Sebelum ini saya berlatih dengan pasukan negara, jadi mereka dapat lihat secara konsisten,” ujarnya.