‘Anak dah sekolah, sekarang senang nak berlakon’

8 hours ago 4

TEMPOH 18 tahun menjadi anak seni bukanlah satu jangka yang singkat. Hampir dua dekad lamanya. Jika punya anak pasti sudah melangkah ke universiti.

Selama itu jugalah nama pelakon tinggi lampai, Scha Alyahya tetap utuh dalam industri seni tanah air.

Sejak memenangi mahkota Dewi Remaja pada 2006, Scha sentiasa menjadi perhatian biarpun graf kerjaya seninya mula melalui episod suram selepas berkahwin dan melahirkan dua cahaya mata.

Untung hidup pada zaman media sosial. Scha antara selebriti yang punya pengaruh kuat. Akaun Instagram rasminya sahaja punya 6.5 juta pengikut. Itu belum dihitung dengan jumlah pengikut akaun dua puterinya, Lara Alana dan Lyla Amina.

Sewaktu zaman anak dara, nama Scha pernah melonjak dengan drama Awan Dania dan beberapa filem popular seperti KL Drift 2, Aku Bukan Tomboy dan Histeria.

Selepas berkeluarga dia lebih selesa menumpukan perhatian pada rumah tangga dan hanya bergiat aktif dalam lapangan fesyen sehingga dia berjaya digelar ikon fesyen tanah air. 

Tahun ini peminat yang merindui lakonan anak jati kelahiran Sungai Petani Kedah itu dapat melepaskan gian menonton lakonannya menerusi filem Telaga Suriram yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Kata Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 42, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berlakon bawah arahan sutradara, Osman Ali. Tawaran yang hadir empat tahun lalu itu pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja. 

“Memang saya jarang berlakon selepas berkahwin. Saya agak memilih naskhah untuk dilakonkan. Tetapi peluang untuk berlakon filem Telaga Suriram ini sukar untuk saya tolak. 

“Pertama kerana saya sudah lama mengimpikan untuk berlakon bawah arahan Osman Ali. Kedua gandingan saya dalam filem ini semuanya hebat. Saya terasa begitu kerdil berlakon bersama mereka.

“Untuk membawa watak sebagai Inspektor Kamila dalam filem ini, saya tolak semua tawaran kerja yang lain untuk memberi fokus kepada watak ini. 

“Saya sukakan watak ini kerana filem ini berlatarkan zaman 1980-an. Jadi watak polis itu bukan seperti yang kita lihat sekarang,” katanya.

Siapa sangka lakonannya dalam filem Telaga Suriram turut membuka peluang lain untuknya terbabit dalam sebuah lagi naskhah terbitan produksi sama yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Ditanya, adakah dia sudah bersedia untuk kembali aktif sebagai pelakon selepas ini, kata Scha ini adalah masa terbaik untuk kembali aktif dalam bidang lakonan sementelah anak-anaknya sudah semakin membesar. 

“Sejujurnya saya punya ‘forte’ bukan lakonan. Saya bermula sebagai seorang model. I’m not an everyday actress. Namun, bila saya terima sesuatu naskhah itu, saya akan berikan komitmen 100 peratus.

“Anak-anak saya pun sudah bersekolah maknanya mereka sudah boleh uruskan diri sendiri. 

“Kalau dahulu ada sindrom tak boleh berjauhan dengan anak, tetapi kini saya sudah dapat atasi perkara tersebut. Jadi lebih mudah untuk saya bekerja dalam bidang lakonan.

“Selepas ini saya akan terlibat dengan sebuah drama terbitan Skop Production dan juga punya filem yang akan keluar di mana saya bergandingan bersama Datuk Aaron Aziz. 

“Saya rasa semuanya terjadi secara kebetulan apabila semua projek lakonan saya ditayangkan pada tahun ini,” kongsinya.

Dilihat sebagai selebriti yang masih relevan dan diterima ramai biarpun jarang keluar dengan produk seni, kata Scha dia tidak pernah merancang untuk kekal relevan dalam industri.

“Mungkin bila jarang muncul dengan sebarang projek seni, kita kelihatan lebih eksklusif. Apa yang boleh saya katakan mungkin ini semua adalah aturan Allah untuk saya.

“Biarpun saya tak berlakon, tetapi saya ada kempen bersama jenama-jenama yang menggunakan khidmat saya.

“Saya juga punya perniagaan dalam bidang fesyen yang saya usahakan. Saya percaya semua ini boleh membantu untuk saya terus kekal relevan di mata peminat,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |