Amirul sempat ‘video call’ sebelum maut kemalangan

12 hours ago 6

GEORGE TOWN – Pemergian pemain skuad futsal Pulau Pinang, Muhammad Amirul Md Radzi, 23, disifatkan satu kehilangan besar buat pasukan selain diangkat sebagai pemain paling konsisten setiap musim.

Pengurusnya, Mohd. Faizul Abd Rashid berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian pemain posisi pivot itu daripada ahli keluarga arwah, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Menurutnya, Muhammad Amirul dikatakan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pada pukul 6.30 pagi.

“Pemergiannya memberi impak besar kepada pasukan. Arwah bermain di posisi pivot (penyerang) dan kami kehilangan barisan pemain di bahagian serangan. Memang terasa kehilangannya kerana setiap musim di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dia antara penjaring terbanyak.

“Tahun ini, arwah juga kekal antara penjaring terbanyak selain pernah dinobatkan Anugerah Kasut Emas pada aksi Piala Malaysia pada 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kali terakhir mereka berhubung menerusi panggilan telefon pada dua minggu lalu dan bertemu ketika perlawanan akhir Liga Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia di Arena Futsal FAM, 20 Julai lalu.

“Dua minggu lalu, arwah ada WhatsApp bertanyakan kepada saya tentang sesi latihan untuk perlawanan akan datang tapi dia ada menghubungi rakan pasukannya menerusi panggilan video pada pukul 1 pagi tadi, sebelum beberapa jam dia terlibat kemalangan. Itu panggilan terakhir daripadanya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang menerusi kenyataan di facebook merakamkan ucapan takziah atas pemergian Muhammad Amirul, pemain yang mula beraksi dengan pasukan Futsal Pulau Pinang sejak tahun 2022.

“Seluruh warga persatuan amat berdukacita atas kehilangan ini dan merakamkan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakan sepasukan.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada arena futsal tempatan,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |