PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM75,000 berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang dalam kes saman fitnah di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama dua lagi hakim
Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin.
Dalam keputusan itu, mahkamah menetapkan jumlah tersebut selepas mendapati jumlah ganti rugi sebanyak RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah keterlaluan namun kekal dengan keputusan yang mendapati Lip Eng telah memfitnah kedua-dua responden.
Panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.
Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng selaku defendan membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Jessy Lai sebagai plaintif selepas membenarkan saman fitnah mereka.
Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan kerana memfitnah dan kenyataan juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka.
Jessy Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng sebagai pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.
Plaintif berkata defendan membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.
Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE