AFCON: Maghribi gagal akhiri kemarau 50 tahun

3 hours ago 1

RABAT – Jurulatih Maghribi, Walid Regragui menyelar tindakan tidak profesional ditunjukkan pemain-pemain Senegal pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 di Stadium Prince Moulay Abdellah awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Maghribi yang turun sebagai tuan rumah terpaksa akur tewas 0-1 menerusi jaringan cukup menarik dilakukan pemain tengah Senegal, Pape Gueye pada masa tambahan.

Perlawanan itu dihiasi insiden kontroversi apabila pemain-pemain Senegal bertindak meninggalkan padang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Jean-Jacques Ndala menghadiahkan sepakan penalti kepada Maghribi.

Bagaimanapun, Maghribi juga perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan selepas Brahim Diaz cuba melakukan sepakan ‘panenka’ dan diselamatkan Edouard Mendy.

“Imej bola sepak Afrika yang kita berikan hari ini (semalam) sangat memalukan. Perlawanan terpaksa dihentikan lebih 10 minit di kala satu dunia sedang menonton adalah satu perkara yang tidak baik.

“Bagi saya, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan Brahim (Diaz), tetapi ia bukan alasan selepas dia melakukan sepakan seperti itu. Inilah bola sepak, kadang-kadang ia menjadi sangat kejam,” kata Regragui.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad Atlas Lions memenangi piala teragung bola sepak Afrika itu adalah 50 tahun lalu di mana kejohanan pada waktu itu masih menggunakan format liga sepusingan (round-robin).

Justeru, Regragui menyifatkan Maghribi mensia-siakan peluang terbaik untuk kembali bergelar juara Afrika ketika trofi sudah pun berada dalam genggaman sebelum Diaz mengambil keputusan melakukan ‘panenka’ lemah.

“Kami tahu kami tidak boleh mensia-siakan sebarang peluang dalam perlawanan akhir. Sepakan penalti itu boleh membantu kami untuk menjadi juara tetapi mungkin bukan rezeki kami kali ini.

“Sekarang semua orang tahu bahawa bukan mudah untuk melangkah ke perlawanan akhir kerana ini merupakan final pertama kami dalam tempoh 22 tahun. Kami terlepas peluang yang datang sekali seumur hidup,” ujarnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |