19 peserta galas nama negara di IRONMAN Dunia

12 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Seramai 19 peserta dari Malaysia akan menggalas cabaran dalam tiga Kejohanan IRONMAN Dunia yang dijadualkan berlangsung pada September ini serta Oktober dan November depan.

Tiga kejohanan itu adalah IRONMAN Dunia (lelaki) di Nice, Perancis dan Kona, Hawaii bagi wanita selain IRONMAN 70.3 Dunia yang akan berlangsung di Marbella, Sepanyol.

Bagi saingan di Nice yang dijadualkan berlangsung 14 September ini, lapan peserta Malaysia akan turut serta, termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Vincent Tiew, Tengku Ahmad Masrin Tengku Mahmud, Ang Chee Kiang, Gavin Loh, Teoh Teng Ee, Christopher Lim dan Muhamad Azmir Taib.

Bagi Chee Kiang yang akan menyertai kategori 55-59 tahun, dia mengakui teruja kerana sudah lama menantikan peluang untuk beraksi dalam Kejohanan IRONMAN Dunia.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai Kejohanan IRONMAN Dunia selepas lama menceburi sukan ini. Ini juga merupakan kali pertama saya akan beraksi di Eropah, jadi sangat teruja.

“Sasaran saya adalah memburu penamatk terbaik. Saya sudah melaburkan banyak duit dan masa bagi melakukan persiapan, jadi saya mahu ia berbaloi,” katanya.

Sementara itu, bagi saingan yang akan berlangsung di Kona 11 Oktober depan, lima wakil negara bakal mengambil bahagian, iaitu Harum Delima Mohd. Noor, Yen Chia, Jamie Chook, Nur Syahariah Jusoh dan Mimi Ruslan.

“Saya tidak pernah jangka dapat berlumba di Kona dan kali ini layak. Saya sangat gembira dan terkejut kerana laluan perlumbaan di sana sangat ikonik,” ujar Yen Chia yang akan beraksi dalam kategori 35-39 tahun.

Dalam perkembangan sama, Kejohanan IRONMAN 70.3 Dunia di Marbella 9 November depan menyaksikan enam pelumba, Fatin Farhana Tuan Kamarudden, Nadia Adrianna Redza, Chang Wei Ying, Wan Jo Ning, Amira Alysa Ayob dan Rodrigo Aja akan menggalas cabaran negara.

Pengarah Serantau IRONMAN Asia, CG Lim mengakui, sukan ekstrem itu semakin berkembang di Malaysia dan ia dibuktikan menerusi peningkatan peserta yang melayakkan diri ke Kejohanan Dunia.

“Dengan Langkawi dan Desaru berada dalam kalendar, semakin ramai peserta Malaysia yang berani untuk menyahut cabaran dan setiap tahun juga lebih ramai peserta layak ke Kejohanan Dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |