Yuran maraton makin mahal, tak setimpal

19 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Pelari maraton negara, Muhaizar Mohamad berharap penganjur larian jarak jauh di Malaysia dapat menyemak semula kadar yuran penyertaan yang disifatkan semakin mahal agar tidak menjejaskan minat serta peluang pembangunan atlet tempatan.

Menurutnya, walaupun peningkatan jumlah acara maraton di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi impak positif kepada komuniti larian, ia juga membuka persoalan tentang keadilan kos dan pulangan kepada peserta terutama golongan atlet kompetitif.

“Bagi pendapat saya, memang banyak pihak anjurkan acara larian dan bagus untuk menaikkan komuniti kita serta tarik lebih ramai anak muda dalam maraton,” katanya.

Namun, dalam masa sama, pelari berusia 40 tahun itu berkata, kos pendaftaran tinggi termasuk untuk kategori fun run semakin membebankan peserta dan boleh mengekang penyertaan khususnya dalam kalangan belia yang mahu mencuba sukan itu secara lebih serius.

“Pendaftaran memang sangat tinggi, walaupun fun run 10 kilometer (km), half maraton atau full maraton, semua mahal,” ujarnya yang menyuarakan kebimbangan itu turut menjadi perbualan hangat dalam kalangan pelari.

Lebih merisaukan, kata Muhaizar, hadiah kemenangan acara maraton di Malaysia juga tidak setimpal dengan kos penyertaan, berbeza negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang menawarkan ganjaran lebih besar walaupun yurannya jauh lebih berpatutan.

“Saya tengok dekat Indonesia, hadiah kemenangan untuk nombor satu, dua, tiga memang besar. Kita kat sini, yuran mahal, hadiah kecil.

“Penganjur di Malaysia dah buat kerja bagus. Cuma saya mohon, naikkan sikit hadiah kemenangan, kurangkan yuran supaya sukan kita terus berkembang,” jelasnya yang menyertai pelbagai kejohanan luar negara sejak beberapa tahun lalu.

Muhaizar berkata, ganjaran kompetitif bukan sekadar meningkatkan motivasi tetapi menjadi pencetus kepada persaingan sihat yang akan membantu mencungkil bakat baharu dalam arena maraton negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |