Warga asing maut, pub dalam binaan terbakar

1 hour ago 3

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing dipercayai etnik Rohingya ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran di kelab malam Midnight Black yang sedang dalam pembinaan di Jalan Penang di sini, malam tadi.

Mayat mangsa, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, ditemukan di tepi pintu utama premis dipercayai ketika mahu menyelamat diri daripada kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya dimaklumkan yang mangsa merupakan buruh binaan di tapak projek berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.50 malam dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai.

“Mangsa dijumpai kira-kira pukul 10.30 malam oleh pasukan penyelamat dan kematiannya disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.28 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.22 malam tadi,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Jelas beliau, anggaran kemusnahan premis adalah sekitar 70 peratus manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Jalan Perak, BBP Bayan Baru dan BBP Paya Terubong serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah bangunan bersejarah yang pernah menempatkan pawagam terkenal Odeon Cinema di Jalan Penang di sini, terbakar malam tadi.

Bangunan tersebut merupakan antara mercu tanda ikonik di Pulau Pinang yang mempunyai sejarah panjang sejak awal abad ke-20.

Premis berkenaan pada asalnya dikenali sebagai Theatre Royal sebelum ditukar kepada King’s Theatre dan kemudiannya dikenali sebagai Odeon Cinema.

Odeon Cinema menamatkan operasinya pada 31 Julai 2014 sekali gus menutup tirai salah satu pawagam layar tunggal terakhir di Malaysia yang terkenal dengan tayangan filem berbahasa India. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |