SEBERANG PERAI – Seorang wanita menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini menetapkan jaminan RM240,000 terhadapnya dan suami atas pertuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa.
Tertuduh, Chan Koon Pheng, 40, dilihat gagal mengawal emosi sejurus selesai prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Dia merayu anak-anaknya mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga bagi membolehkan mereka membayar wang jaminan tersebut kerana tidak mahu terus berada dalam tahanan penjara.
Mengikut pertuduhan, Koon Pheng bersama suaminya, Tan Kok Teong, 42, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memperdagangkan wanita Indonesia bagi tujuan buruh paksa antara Ogos tahun lalu hingga Mei tahun ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi dalam daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Koon Pheng turut mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan yang sama termasuk dua di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala pasangan itu diwakili peguam Arvend Rajan.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain mengenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pendakwaan turut memohon kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan antara 1 hingga 5 haribulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Arvend memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan Chan merupakan pencari nafkah utama keluarga yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Sheow Yean dan Roslan masing-masing menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, menjadikan jumlah keseluruhan ikat jamin sebanyak RM240,000.
Hakim Sheow Yean menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan dokumen, manakala Hakim Roslan Hamid menetapkan 2 Julai depan bagi sebutan semula kes berkenaan. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
8







![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)





































