Wan Fayhsal beri bayangan Hamzah presiden parti baharu

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi bayangan bahawa bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal menerajui sebuah parti politik baharu selepas dipecat daripada parti tersebut.

Wan Fayhsal menerusi hantaran panjang di Facebook berkata, sokongannya terhadap Hamzah bukan satu kesilapan malah yakin pemimpin tersebut merupakan individu paling layak untuk meneruskan perjuangan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keyakinan itu dibuat berdasarkan pengalaman bekerja rapat dengan Hamzah sepanjang berada dalam kepimpinan tertinggi Bersatu dan PN.

“Saya 100 peratus yakin berdasarkan ilmu, pengetahuan langsung dan siasatan rapi saya sendiri bahawa menyokong, mendokong dan mempertahankan Datuk Seri Hamzah adalah tindakan yang tepat.

“Insya-Allah tidak lama lagi beliau akan menjadi Presiden parti baharu kami,” katanya.

Dalam hantaran sama, Wan Fayhsal turut menjawab dakwaan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Wira Marzuki Yahya yang mengkritik kedudukan dan pengaruh Hamzah dalam parti.

Katanya, dakwaan bahawa Hamzah merupakan pemimpin lemah yang tidak membantu Presiden Bersatu adalah tidak berasas serta bercanggah dengan keadaan sebenar yang berlaku dalam parti.

Dia mendakwa Hamzah banyak memainkan peranan dalam menguruskan perjalanan Bersatu termasuk ketika parti berdepan tekanan susulan pembekuan akaun oleh pihak berkuasa.

Menurut Wan Fayhsal, sumbangan Hamzah dari segi masa, tenaga dan kewangan untuk memastikan operasi parti serta PN terus berjalan adalah jauh lebih besar berbanding yang diketahui umum.

Dia turut menegaskan Hamzah mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan Pas dan dihormati dalam kalangan pemimpin kanan gabungan tersebut.

Tambahnya, Hamzah juga memainkan peranan penting dalam beberapa detik penting pembentukan PN termasuk proses peralihan kuasa kerajaan serta pembentukan gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal mendakwa majoriti ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Hamzah merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan pengurusan Bersatu sejak beberapa tahun lalu.

Dalam masa sama, dia turut mengkritik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu kini semakin jauh daripada prinsip perjuangan yang pernah dibawanya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |