[VIDEO] Tiba-tiba salam, selit RM50

15 hours ago 9

PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan yang kudung sebelah tangan tersentuh dengan sikap pemurah seorang lelaki yang tidak dikenali apabila menghulurkan sekeping wang kertas RM50 secara spontan ketika dia sedang bertugas.

Menerusi perkongsian video di TikTok, King Of One Hand, ketika kejadian penghantar makanan itu dilihat sedang mencari alamat pelanggannya untuk menghantar pesanan.

Kemudian, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard tiba-tiba berhenti berhampiran penghantar tersebut sebelum seorang lelaki keluar dan menyapanya.

Melihat kepada video dikongsikan, penghantar tersebut pada awalnya bertanyakan sama ada lelaki itu adalah pemilik rumah dihadapannya, bagaimanapun individu berkenaan hanya mahu bertegur dan bersalam sebelum menyelitkan wang kertas RM50 ke tangannya dan terus berlalu pergi tanpa berkata banyak.

“Ada rezeki yang Allah beri melalui usaha kita dan ada rezeki yang Allah gandakan melalui sedekah kita. Terima kasih orang baik,” tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Tindakan spontan itu nyata mengundang rasa syukur dan terharu dalam kalangan pengguna media sosial yang menyaksikan rakaman berkenaan selain turut memuji keikhlasan lelaki terbabit dalam membantu individu lain tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Rata-rata netizen juga meninggalkan komen mendoakan agar kedua-dua mereka terus dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.

“Semoga abang penghantar makanan ini dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki,” kata Nurlshirah.

“Masih ramai insan baik di luar sana. Semoga pemberi dan penerima sama-sama mendapat keberkatan,” ujar seorang lagi.

“Kalau Abang Alphard ni yang lalu lorong kecemasan saya tak marah,” komen Raje Azlan.

“Dia bersedekah dan brlalu pergi tanpa berkata apa pun (itu pun sebab abang ‘rider’ pasang kamera) kalau tak, tiada siapa pun tahu. Hanya Allah SAW,” ujar Cik Jintan Manis.

Sehingga kini, video tersebut mendapat lebih satu juta tontonan dan pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang tersentuh dengan kisah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

@ahmadnabil400Ada rezeki yang Allah beri melalui usaha kita, dan ada rezeki yang Allah gandakan melalui sedekah kita.🥰 Terima kasih orang baik.😊

♬ original sound – 🐼King Of One Hand🐜

Read Entire Article
Pertanian | | | |