[VIDEO] ‘Terbaik Inspektor Fakrul, Sarjan Maiwira dan Koperal Zaidi’

16 hours ago 6

PETALING JAYA – Keprihatinan tiga anggota Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengiringi kenderaan yang membawa wanita sarat mengandung menempuh kesesakan lalu lintas, mendapat pujian daripada orang ramai.

Menerusi video dimuat naik pada TikTok la_tahzan36 iaitu salah seorang anggota polis tersebut memperlihatkan, mereka bertiga berada di dalam kenderaan polis serta melalui Plaza Tol Gurun.

Dalam masa sama, sebuah kereta Perodua Alza mengekori kenderaan itu dari belakang dan mereka terus menuju ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Video itu turut dimuat naik pada Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia yang memuji tindakan tiga anggota tersebut.

“Penghargaan buat Inspektor Fakrul Razi Mohd. Sayuthi, Sarjan Maiwira Mat Razali dan Koperal Muhammad Zaidi Nor Yusof dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Kedah kerana membantu mengiringi sebuah kenderaan membawa wanita sarat mengandung selamat tiba di hospital dengan kadar segera kelmarin.

“Wanita berkenaan difahamkan sedang mengalami kesakitan untuk bersalin ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berhampiran Plaza Tol Gurun, sebelum terpaksa meminta pertolongan pihak polis bagi mengiringi mereka ke hospital tersebut.

“Terima kasih kepada ketiga-tiga petugas yang terlibat dan semoga bantuan yang diberikan menjadi pemangkin semangat untuk terus melakukan kebaikan kepada masyarakat,” menurut hantaran PDRM hari ini.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memberi penghargaan kepada anggota tersebut selain mendoakan sikap prihatin mereka dibalas oleh Allah SWT.

“Perbuatan baik dibalas baik. Tiba masa kita pula ada masalah, pasti ada yang datang membantu sebab kita dah bantu dulu yang lain,” komen pengguna Facebook Ahmad Azian Atan.

“Tahniah PDRM sentiasa terbaik. Dalam setandan pisang, mesti ada yang tak elok. Semoga Allah lindungi kalian semua semasa menjalankan tugas harian,” komen Fatima Aziz.

“Terbaik tuan dan anggota IPK Kedah,” ujar Zahari Zain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |