[VIDEO] ‘Sudahlah bantu, abang polis siap belanja minyak motor’

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Tindakan seorang anggota polis trafik membantu seorang penunggang motosikal yang kehabisan minyak di tepi jalan di sebuah laluan di sini, semalam meraih pujian ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Menerusi rakaman yang dikongsikan sendiri anggota polis berkenaan menggunakan akaun Threads @bangkeram, dia dilihat terserempak dengan seorang lelaki bersama anak kecilnya yang terkandas di lorong motosikal selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai kehabisan minyak.

Tanpa berlengah, anggota polis itu tampil membantu dengan mengawal aliran trafik sebelum menunda motosikal tersebut sehingga ke sebuah stesen minyak berhampiran bagi membolehkan lelaki berkenaan meneruskan perjalanan.

“Selamat pagi, semoga kita semua selamat sampai ke destinasi kita,” katanya ringkas pada hantaran yang dimuat naik bersama video kejadian.

Dalam video dikongsiakn juga, terdapat seorang penunggang motosikal yang lain turut membantu mengekori mereka dari arah belakang agar perjalanan lebih selamat.

Setibanya di stesen minyak, anggota berkenaan turut membayar kos mengisi minyak motosikal lelaki itu di kaunter selain dia juga dilihat menghulurkan sedikit sumbangan wang kepada anak lelaki berkenaan sebagai tanda keprihatinan.

Tindakan spontan anggota terbabit mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya memuji sikap prihatin dan sifat kemanusiaan yang ditunjukkan ketika bertugas.

Situasi itu juga sempat dirakam beberapa pengguna jalan raya yang lain ketika berada di laluan sama.

“Semalam lalu dekat kawasan Sunway Mentara, ternampak ‘Encik Polis’ tengah tolong towing (tunda) motosikal abang ini dengan anak dia comel. Semoga Allah membalas sejuta kebaikan bersama mu ‘Encik Polis’ dunia akhirat.
Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Aku nampak ‘Encik Polis’ towing (tunda) sampai lah ke stesen minyak BHP. Terbaik,” puji @alfy_ainur.

“Terima kasih abang polis. Sudahlah tolong tolak motor sampai stesen minyak, siap belanja minyak lagi. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya Syukri.

Seorang lagi pengguna, @comeonlaa menyifatkan tindakan anggota polis trafik itu sebagai contoh terbaik yang mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap pasukan keselamatan.

“Benda kecil bagi sesetengah orang, tetapi besar maknanya kepada individu yang memerlukan bantuan ketika itu. Semoga abang polis dimurahkan rezeki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |