PETALING JAYA – Tindakan seorang pelancong tidak mahu membayar ganti rugi selepas merosakkan motosikal sewa di Pulau Langkawi menerima kecaman ramai.
Menerusi sebuah video yang dikongsi di TikTok @Hayes Ryan, dia memaklumkan wanita tersebut enggan membayar ganti rugi selepas menyebabkan beberapa kerosakan pada motosikal yang disewa.
Wanita tersebut juga bertindak memuat naik video di TikTok miliknya dan mendakwa lelaki tersebut meminta ganti rugi sebanyak RM1,000 sedangkan nilai yang diminta hanya RM400.
“Dia jatuhkan motosikal, dia calarkan dan ‘fork’ bengkok ke sebelah kiri. Jadi, semua sekali anggarkan RM400.
“Lepas itu dia tak mahu bayar, dia cakap banyak. Aku cakap harga ini sebenarnya agak murah, kalau kedai lain mungkin minta dia ganti RM1,000. Tapi dia ‘cut’ video tu, bagi nampak macam aku minta RM1,000,” katanya.
Lelaki itu kemudian menjelaskan bahawa dia merupakan anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah susulan ada yang mendakwa dia merupakan orang luar kerana boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
“Aku boleh cakap bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Rusia pun boleh. Aku orang Malaysia, jangan terperdaya sangat dengan loghat aku sampai ingat aku orang luar masuk kerja dekat Malaysia,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan wanita terbabit.
“Fork bengkok nak betulkan balik pun dah makan RM100 ke RM150, cover set dan upah. Masalah betul kalau pelanggan jahat ni,” kata Takim Motor.
“Hang minta RM400 tu pun memang ngam-ngam takat beli barang dekat shopee saja tu bang. Upah kira percuma saja, betul itulah risiko niaga orang nampak yang senang saja,” kata Edi.
“Orang luar ada yang tak pandai bawa motosikal, saya percaya awak, mereka kadang-kadang bawa motosikal macam orang mabuk, main pulas saja,” kata Nurr Syaf. – KOSMO! ONLINE
@thecoconutcowman Replying to @Hani ♬ original sound – Hayes Ryan
1 day ago
7

















































