MELAKA – Selepas ‘pesta kerang’ di Pantai Klebang tular baru-baru ini, kini fenomena serupa melanda Pantai Kampung Permatang Pasir di Alai apabila ribuan siput beliung pula muncul sehingga menjadi tumpuan penduduk dan pengunjung.
Pantai itu kini kembali ‘hidup’ setiap kali air surut apabila ratusan orang ramai mengambil peluang bersantai bersama keluarga sambil mencari siput yang semakin sukar ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang penduduk tempatan, Firdaus Helmi, 40, dari Semabok berkata, kemunculan siput beliung kali ini mengimbau kembali keadaan tujuh tahun lalu apabila kawasan berkenaan turut dipenuhi spesies sama.
“Sejak dua minggu lalu memang banyak siput beliung di sini. Bila tiba cuti hujung minggu, ramai yang datang bersama keluarga untuk bersantai sambil kutip siput.
“Saya datang sudah dua kali, biasanya dari jam 8 pagi sampai 11 pagi dah boleh dapat dalam 30 kilogram. Saya makan sendiri dan selebihnya bagi kepada saudara-mara dan kawan-kawan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Pantai berkenaan di sini, hari ini.
Katanya lagi, mengutip siput beliung lebih mudah berbanding mencari kerang kerana ia boleh dirasai dengan kaki ketika air surut, namun menasihatkan agar pengutip memakai stokin bagi mengelak kecederaan akibat cangkerang tajam.
Sementara itu, Juprianto Lamin, 38, dari Serkam yang pertama kali mencuba nasib di pantai berkenaan tidak menyangka rezekinya cukup lumayan selepas berjaya mengutip lebih 20 kilogram dalam masa beberapa jam.
“Saya datang sebab kawan-kawan beritahu ada banyak siput beliung sekarang. Alhamdulillah, pertama kali datang terus dapat lebih 20 kilo.
“Saya tak bercadang nak jual, cuma nak makan sendiri sahaja. Kalau datang awal dan pandai cari, memang cepat penuh bakul,” ujarnya sambil tersenyum puas.
Kemunculan semula siput beliung itu bukan sahaja menceriakan suasana pantai tetapi turut menjadikan kawasan berkenaan antara lokasi tumpuan baharu pencinta hasil laut di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5






![[VIDEO] ‘Macam mana jari kau boleh masuk situ kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-01-at-5.04.16-PM.jpeg)









![[VIDEO] ‘Adik tak sihat, dia nampak seperti suami dok panggil dan ejek’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Marliana.jpeg)































