PETALING JAYA – “Untuk lelaki, boleh tak kamu jangan ajak saya kawin masa dalam keadaan macam ini (hidup susah, tinggal dalam kereta dengan anak-anak).”
Demikian luahan seorang ibu tunggal berasal dari Sabah, Nur Syuhada Naquiyyah, 33, yang memilih untuk keluar dari rumah keluarganya dan kini tinggal di dalam kereta bersama dua anaknya berusia 2 dan 11 tahun.
Tindakan tersebut dilakukan selepas wanita itu melalui beberapa episod duka dalam hidupnya termasuk perceraian, kehilangan pekerjaan dan dikhianati rakan sekerja.
Jelas wanita itu, dia menghargai lelaki yang ingin membantunya dan menjadikan pasangan hidup, tetapi dalam situasi sekarang dia tidak mahu meneruskan hasrat tersebut.
“Kamu mahu membantu saya keluar dari kesusahan, kamu mahu bantu saya setel bankrupsi. Kamu mahu bantu saya bayar itu, bayar ini.
“Hati kamu (lelaki) itu sangat baik dan dipenuhi rasa ingin membantu orang-orang susah macam saya. Tetapi instinct (naluri) saya kata jangan terima orang yang melamar dalam keadaan saya macam ini (hidup susah bersama anak-anak),” katanya dalam satu klip. video di aplikasi TikTok.
Mengulas lanjut, wanita itu berkata, sekiranya dia menerima ajakan lelaki yang mahu menjadikannya isteri dalam keadaan seperti itu, dia bimbang akan ditinggalkan sekali lagi.
“Sebab ketika ini saya tiada pilihan, apabila orang (lelaki) tawarkan pertolongan saya tidak tahu niat mereka ikhlas atau tidak. Sebab saya punya firasat (naluri) kata jangan terima siapa-siapa dalam keadaan macam ini.
“Jadi saya mintak maaf sangat-sangat, yang mana saya tidak balas (mesej). Ada juga mula-mula bagi salam dan mahu tolong saya keluar dari semua masalah dan hutang ini, tetapi kena kahwin.
“Saya rasa (lelaki) itu tidak ikhlas, walaupun dia cakap dia ikhlas. Tolonglah jangan macam itu, kamu tahu saya tengah susah dan tiada pilihan lain, tetapi saya tidak boleh terima,”katanya.
Berdasarkan beberapa hantaran di aplikasi berkenaan sebelum ini, Nur Syuhada memilih untuk ‘menetap’ di dalam sebuah kereta berhampiran sekolah supaya anak sulungnya dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.
Malah menurut wanita itu, dia sekeluarga juga hanya menggunakan tandas stesen minyak atau awam untuk mandi dan membersihkan diri. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1


![[VIDEO] Lima renjer diserang dari atas pikap ketika pemeriksaan di Narathiwat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/Untitled-design-2026-07-23T105520.528.png)













































