[VIDEO] Pemandu van mengaku tidak bersalah langgar mati murid sekolah

8 hours ago 8

BATU PAHAT – Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Selasa lalu.

Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, mengangguk faham dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu kenderaan motor van dengan melulu dan menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan kemudiannya memohon tawaran wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Song Yan dalam pada itu merayu wang jaminan dikurang berikutan gaji OKT hanya RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor di Balai Polis sebulan sekali selain lesen memandu ditahan sehingga selesai kes.

Pertuduhan semula ditetapkan pada 25 Jun 2026.

Pada Selasa lalu, Nur Aini Umairah maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 12.30 tengah hari, di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |