KUALA LUMPUR – Kenderaan mangsa yang hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, di sini kelmarin berjaya ditemui hari ini.
Kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero itu ditemui kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan itu ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini. Bagaimanapun, katanya, kenderaan berkenaan ditemui dalam keadaan kosong tanpa ada mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter.
“Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga pukul 7 petang. Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, kereta itu kemudian diserah kepada syarikat pemilik kenderaan itu.
“Semua aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkn sepenuhnya termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian.
“Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang,”
“Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian ini akan melepasi sempadan Selangor,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa telefon mangsa yang dilaporkan masih berdering semalam kini tidak lagi aktif, namun polis masih mendapatkan klu untuk mengecilkan skop pencarian.
“Semalam arus deras namun hari ini air lebih tenang, jernih, dan kurang berbahaya untuk penyelam. Empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam diteruskan, dengan laluan 20 kilometer akan diteliti secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, jika ada struktur sungai yang mencurigakan atau halangan, kawasan itu akan dijadikan kawasan utama untuk penyelam melakukan pencarian.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang semalam.
Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1



![[VIDEO] ‘Hanya Allah tahu perit ujian bayi yatim piatu Laylaa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-19-at-12.40.09-PM.jpeg)






![[VIDEO] ‘Baru masuk kandang, aktif sangat berlari-lari’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-19-at-10.35.34-AM.jpeg)






































