PETALING JAYA – Jumlah kenderaan di lebuh raya utama sekitar ibu negara ketika ini yang dikatakan meningkat sehingga didakwa mencetuskan kesesakan luar biasa, mengundang persoalan orang ramai berhubung situasi tersebut.
Tinjauan di media sosial mendapati, mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dengan memandu atau menunggang motosikal mendakwa, telah berdepan kesesakan luar biasa itu sudah hampir dua minggu.
Orang ramai juga berpandangan, kesesakan trafik berkenaan tidak hanya berlaku pada waktu kemuncak pergi dan balik dari tempat kerja, malah ia bermula lebih awal sehingga berlarutan hingga malam.
Seorang pengguna TikTok @Myra turut berkongsi video keadaan di laluan sekitar Petaling Jaya iaitu di Lebuh Raya Persekutuan yang berdepan kesesakan lebih awal dari waktu kebiasaan.
“Ada apa Federal Highway (Lebuh Raya Persekutuan) ni. Dari 3.15 petang tadi,” katanya pada kapsyen video berhubung situasi di laluan berkenaan pada semalam.
Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang masih tertanya-tanya situasi kesesakan luar biasa yang berlaku ketika ini.
“Kenapa dalam dua minggu ni trafik mencabar keimanan betul. Mana datang manusia semua ni,” komen pengguna TikTok @Axel.
“Aje gila semalam, dari kawasan PJ (Petaling Jaya) nak nampak Mentari Court tu, uish dah macam drive (memandu) dari KL (Kuala Lumpur ke Muo (Muar, Johor). Gila betul nak sampai Klang dari Bangsar tu dekat tiga jam. Aku pun hairan orang KL kuat betul mental hadap sesak. Aku koyak (tak kuat) wooo,” komen @Erol Je.
“Malam tadi (kelmarin) nak dekat pukul 11 malam masih sesak orang nak keluar kat tol Sungai Besi dari Cheras tu hah. Pelik dari mana kereta banyak semacam,” komen pengguna TikTok @Little.
Ada juga yang berpandangan, kesesakan ini mungkin disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, manakala umat Islam pula bakal berpuasa Ramadan kelak.
“Rakyat dah mula shopping (membeli-belah) nak raya kan? Nak sambut Ramadan,” komen pengguna TikTok @Bukan Harimau Malaya.
“Nak raya Cina, nak puasa. Nanti raya Cina, kedai, pejabat banyak tutup. Banyak lah yang keluar nak selesaikan hal apa yang patut,” kata @Amardx.
Kosmo! Online pagi tadi melaporkan, ibu negara berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa sejak beberapa hari lalu apabila beberapa laluan utama dilaporkan mengalami kesesakan teruk pada awal pagi sehingga malam.
Tinjauan mendapati aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke pusat bandar, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang dan beberapa laluan di sekitar Bangsar dan Damansara.
Rata-rata pengguna jalan raya meluahkan rasa kecewa apabila perjalanan yang biasanya mengambil masa setengah jam kini menjadi lebih satu jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan dan beberapa insiden kemalangan kecil. – KOSMO! ONLINE
@rezekikembaradamammarFederal highway 11 Feb 2026 14.20pm… Bertabahlah pencari rezeki semua…
13 hours ago
7

















![[VIDEO] ‘Tak dapat pergi konsert, dia punya excited jumpa Datuk Awie live’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/Awie.jpeg)































