[VIDEO] Flat Rohingya: Saya mengaku, salah tetap salah – Anak tuan tanah

3 hours ago 3

HULU LANGAT – “Saya mengaku, salah tetap salah. Saya hadir untuk memperbetulkan segala kegusaran ini.”

Demikian luahan anak kepada pemilik tanah yang enggan dikenali susulan kontroversi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Sungai Tekali di sini yang menjadi perhatian masyarakat sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, sejak isu berkenaan tular di media sosial dan mendapat liputan meluas, dia kerap turun ke lokasi bagi menguruskan pelbagai perkara yang berbangkit selain memastikan semua arahan pihak berkuasa dipatuhi.

“Saya datang untuk memperbetulkan keadaan dan segala kegusaran yang timbul. Saya sedar apa yang berlaku dan saya mengaku, salah tetap salah.

“Namun saya mohon semua pihak supaya tidak menyebarkan perkara yang tidak benar atau menokok tambah cerita sehingga mengelirukan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.

Katanya, keluarganya kini berada dalam keadaan tertekan susulan pelbagai dakwaan serta komen negatif yang tersebar di media sosial sehingga ada antaranya tidak berasaskan fakta sebenar.

“Ahli keluarga saya sangat tertekan. Banyak cerita yang tidak benar disebarkan sehingga menjejaskan nama baik kami.

“Kami menerima pelbagai kecaman walaupun pada masa ini kami sedang berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut segala panduan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.

Dia berkata, proses pematuhan terhadap tindakan yang diarahkan sedang dilaksanakan secara berperingkat termasuk kerja-kerja mengosongkan dan merobohkan struktur di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, dia turut meminta orang ramai supaya tidak menyalahkan mana-mana agensi kerajaan kerana menurutnya pihak berkuasa sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kerajaan dan agensi berkaitan memang menjalankan tugas mereka. Pemeriksaan dan operasi sentiasa dibuat dari semasa ke semasa.

“Jadi jangan salahkan mana-mana pihak. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab mengikut bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, kerja-kerja merobohkan struktur bangunan di penempatan tersebut mula dilaksanakan oleh pemilik tanah selepas kawasan itu menjadi perhatian susulan dakwaan penempatan warga asing yang dibina tanpa kelulusan di atas sebahagian tanah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |