SEBERANG PERAI – Seorang pemandu bas kilang bertindak agresif dengan memecut kenderaan itu sejauh lima kilometer gara-gara mengelak ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Bas Pekerja di Bayan Lepas, pagi tadi.
Bagaimanapun, lelaki berusia 39 tahun itu akhirnya berjaya dicekup berhampiran kawasan perindustrian Batu Maung selepas dikejar selama hampir 10 minit dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Pengarahnya, Zulkifly Ismail, berkata siasatan mendapati pemandu terbabit baru selesai menurunkan pekerja dan dalam perjalanan pulang ke depoh ketika insiden berlaku.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia bukan sahaja tidak memiliki lesen memandu vokasional (PSV), malah bas yang dipandunya juga tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu tersebut mengaku menerima arahan daripada majikan supaya tidak berhenti apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.
“Tindakannya itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati yang dia mempunyai 10 saman lampau yang masih belum diselesaikan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dalam operasi berkenaan, JPJ turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk pemandu tidak memiliki lesen memandu dan pemandu warga asing yang diupah untuk memandu.
Zulkifly berkata, terdapat kes pengusaha menggajikan warga asing sebagai pemandu bas pekerja yang menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Operasi khas yang bermula pukul 5 pagi itu menyaksikan 215 kenderaan diperiksa, dengan 26 bas pekerja diambil tindakan, 81 notis saman dikeluarkan dan 20 kenderaan disita.
“Pengusaha dinasihatkan supaya memastikan semua dokumen dan lesen pemandu sah sebelum menggaji mereka. Jangan ambil mudah soal keselamatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5





![[VIDEO] ‘Tuala wanita punya pasal..tahi di sana, tahi di sini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.19.13-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Dengan kami pun terikut baca doa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.00.29-PM.jpeg)










































