KUALA LUMPUR – Polis menyiasat kes kemalangan melibatkan enam buah kenderaan yang berpunca daripada tindakan penumpang kanak-kanak membuka pintu kereta jenis Honda City secara mengejut di Jalan Tun Razak, di sini kelmarin.
Kemalangan pada pukul 6.15 petang itu melibatkan empat buah kereta iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo, Perodua Bezza serta dua buah motosikal jenis Suzuki V-Strom SX dan CFMOTO 675 NK.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penumpang belakang kereta Honda City iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipangku saudaranya secara tidak sengaja membuka pintu belakang secara tiba-tiba.
“Sebuah motosikal Suzuki V-Strom SX yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar pintu kereta sebelum hilang kawalan dan melanggar beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah lagi motosikal CFMOTO 675 NK ditunggang lelaki berusia 30 tahun yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak dan terlibat dalam kemalangan tersebut.
Akibatnya, penunggang Suzuki V-Strom SX mengalami kecederaan patah tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala penunggang CFMOTO 675 NK cedera ringan. Kesemua pemandu kereta tidak cedera.
Justeru, polis sedang meneliti rakaman video tular kejadian bagi melengkapkan siasatan.
“Dipercayai ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) tidak diaktifkan, membolehkan pintu dibuka dari bahagian dalam. Pemandu Honda City, wanita berusia 50 tahun dirakam keterangan sementara keterangan saksi-saksi lain masih dalam proses,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
5











![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)





































