[VIDEO] ‘Adik tak sihat, dia nampak seperti suami dok panggil dan ejek’

7 hours ago 4

ALOR SETAR – “Adik beritahu dia nampak suami macam panggil dia dan seperti mengejek-ejeknya. Mungkin itu halusinasi sehingga dia sampai sanggup tetak suami dengan kejam.”

Itu dakwa Marliana Awang, 39, isteri kepada Allahyarham Nasir Md. Nayan, 45, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Katanya, adik lelakinya itu mengalami gangguan perasaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak kira-kira empat tahun lalu.
“Dia (adik) tak sihat, ada gangguan (perasaan). Dia cerita kepada polis semalam dia nak keluar mandi sebelum nampak arwah suami macam dok panggil dia.

“Lepas tu, dia kata nampak suami seperti ejek-ejek dia, itu perasaan dia. Mungkin berhalusinasi tengah dendam dengan orang lain,” katanya.

Menurutnya, keadaan adiknya itu kurang baik sejak kira-kira dua bulan lalu kerana tidak makan ubat yang dibekalkan doktor psikiatri mengikut masa ditetapkan.

“Sejak kebelakangan ini adik memang dok mengamuk tapi dalam rumah sahaja. Sebelum ini dia mengamuk dan sembang seorang diri dalam rumah, tak kacau orang dan akan baik bila makan ubat.

“Kali terakhir dia mengamuk guna parang sampai panggil polis dah lama, lebih dua tahun lalu,” ujarnya sambil memberitahu adiknya itu mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar.

Jelasnya, kebanyakan orang kampung tidak mengenali adiknya kerana dia jarang keluar rumah.

“Kalau orang luar datang rumah mak pun, dia akan lari masuk dalam bilik. Adik mengalami masalah gangguan perasaan dipercayai akibat tekanan ekonomi, dulu dia okay dan bekerja sebagai pesawah.

“Selain mak berusia 65 tahun, rumah itu didiami seorang lagi adik saya berusia 28 tahun,” tambahnya.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.

Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |