[VIDEO] Abang belon berisiko lumpuh – Doktor

1 day ago 5

KUALA LUMPUR – Peniaga belon yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berisiko lumpuh ekoran kecederaan yang dihadapi pada tulang belakang.

Pegawai perubatan swasta, Dr. Hafidz Rizal berkata, abang belon atau nama sebenarnya, Muhammad Zaimudin yang dimasukkan ke hospital dari 2 Mac sehingga 4 April lalu didiagnos mengalami ‘compression fracture T12’ (saraf tulang belakang toraks).

Perkara itu didedahkan menerusi nota discaj dan sijil cuti sakit selama 48 hari yang dikeluarkan oleh bahagian ortopedik Hospital Sultan Idris Hospital, Serdang.

“Antara komplikasi yang kita paling risau, dia mula rasa kebas dan saya tanya tadi dia dah mula rasa kebas kerana ‘compression’ ini akan memberi kesan kepada T11 dan saraf tulang belakang lumbar 1 (L1).

“Bila dah ‘compress’ tulang T12, bermakna akan ada ruang kosong antara T11 dan L1. Selain itu, komplikasi yang paling kita tak nak adalah risiko lumpuh,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Hafidz berkata, lazimnya, pesakit yang mengalami kecederaan sedemikian juga berisiko untuk mengalami masalah inkontinen urin yang mana individu tidak dapat mengawal pundi kencing.

Sehubungan itu, katanya, diharapkan dengan pemakaian alat sokongan ortopedik dapat membantu memulihkan kecederaan Muhammad Zaimuddin yang mengambil masa sekurangnya tiga hingga enam bulan.

“Sekarang ini, Muhammad Zaimuddin juga menanggung kesakitan akibat penyakit ‘hernia’ (angin pasang) tetapi malangnya dia tidak boleh meneruskan pembedahan akibat kecederaan pada tulang belakang.

“Ketika ini, kalau saya tanya sekarang tahap kesakitan dia daripada satu sampai 10. Dia kata lapan hingga sembilan bermakna memang sakit kerana ia juga memberi kesan kepada saraf di kiri dan kanan,” jelasnya.

Tambahnya, laporan penuh perubatan Muhammad Zaimudin dijangka siap dalam tempoh 40 hari dan boleh dikemukakan di mahkamah.

Sebelum ini tular di media sosial memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu, insiden tersebut dipercayai telah menyebabkan peniaga berkenaan mengalami kecederaan tulang belakang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |