Usahawan India diperkasa melalui EIP, SPUMI – Ramanan

1 day ago 5

PETALING JAYA – Usahawan India di negara ini terus diperkasakan menerusi kurus latihan pengurusan perniagaan secara percuma melalui program Empowering Indian Entrepreneurs (EIP) dengan kerjasama Tekun Nasional.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata, usaha tersebut untuk membantu usahawan komuniti India dengan memastikan perniagaan mereka dapat dijalankan secara terurus dan terancang.

Menurutnya, inisiatif latihan keusahawanan ini salah satu usaha Kerajaan Madani dalam membantu usahawan berkenaan.

“Program latihan ini akan dijalankan di seluruh negara secara berperingkat untuk semua usahawan India yang menerima pembiayaan Tekun. Program pelancaran akan melibatkan usahawan negeri Selangor dan Kuala Lumpur dan akan diadakan dalam masa terdekat ini.

“Semasa program latihan antara topik yang akan diberikan latihan merangkumi pengurusan perniagaan, pengurusan audit, pengurusan sosial media dan isu berkaitan sistem perniagaan yang lebih sistematik termasuk bagaimana menguruskan pembiayaan yang diterima,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pemantauan SPUMI dan SPUMI Goes Big.

Ramanan berkata, pihaknya mahu memastikan dana yang dipinjam usahawan tersebut dapat diurus tadbir dengan baik.

“Justeru dana ini dapat dimanfaatkan kepada lebih ramai usahawan India di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM8.222 Juta kepada lebih 355 usahawan India melalui inisiatif SPUMI dan SPUMI Goes Big bagi tahun ini setakat penghujung bulan lalu.

Tekun juga telah memperuntukkan RM100 juta untuk usahawan komuniti India bagi tahun ini, jumlah yang terbesar diperuntukkan di bawah SPUMI sejak dilancarkan pada 2007. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |