Upah RM4,000 jerat pelajar jadi ‘transporter’ bunga ganja

10 hours ago 5

ALOR SETAR – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara ditahan ketika cuba menyeludup 14.63 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.17 juta dari Thailand ke negara ini kelmarin.

Pemuda berusia 24 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu ditahan polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan milik keluarga suspek itu menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 14.63 kg bunga ganja.

“Bungkusan berisi dadah itu disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini malam tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan dadah bagi sindiket penyeludupan dari Danok, Thailand sebelum dihantar ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Dia dipercayai telah membawa masuk bekalan dadah ke negara ini kira-kira empat kali sebelum ini dengan menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran dadah yang dilakukan,” ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket termasuk sumber bekalan, rangkaian pengedaran dan individu lain yang terlibat.

“Dadah yang dirampas mampu membekalkan bekalan kepada lebih 73,150 penagih dan berpotensi merosakkan kehidupan ratusan ribu masyarakat sekiranya berjaya dipasarkan,” jelasnya.

Tambahnya, saringan awal air kencing mendapati suspek yang beralamat di Rawang, Selangor positif tetrahydrocannabinol (THC).

“Suspek direman selama enam hari sehingga 21 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |