PETALING JAYA – Kebimbangan Sabah bakal mengikut jejak Colombia yang pernah bergelut dengan kartel dadah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan agresif menerusi Op Morava bagi melumpuhkan Sindiket Upek yang bermaharajalela di negeri itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kata-kata itu disampaikan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Jasin ketika beliau baru dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada Januari 2022.
“Saya masih ingat kata-kata Datuk Jonathan Jasin, ‘Dato kena ambil tindakan ke atas sindiket dadah di Sabah. Sekiranya tidak, Sabah akan jadi macam Columbia’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, selepas pertemuan tersebut, satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat Sindiket Upek yang diklasifikasikan di bawah kategori jenayah terancang.
Katanya, walaupun terdapat pegawai kanan JSJN yang agak skeptikal dan kurang yakin memandangkan sindiket yang diketuai Datuk Maslan Sani atau Upek mempunyai struktur operasi yang tersusun serta rangkaian yang kukuh sejak tahun 2014, siasatan tetap diteruskan.
“Saya meneruskan juga siasatan di bawah pasukan petugas khas yang diterajui Superintendan Saifudin dan pasukannya,” katanya.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pada 25 Disember 2023, PDRM mencipta sejarah dengan menguatkuasakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) buat pertama kali terhadap sindiket jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia.
Ayob berkata, pelaksanaan Op Morava yang dilancarkan pada Disember 2023, selepas beberapa isu teknikal berjaya diselesaikan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, menjadi titik perubahan besar dalam strategi penguatkuasaan PDRM bagi memerangi ancaman dadah di negara ini.
Menurutnya, operasi itu mengiktiraf pengedaran dadah berskala besar sebagai ancaman keselamatan yang dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh.
“Melalui operasi ini, JSJN berjaya menumpaskan Kumpulan Jenayah Terancang Geng Upek yang merupakan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah serta mempunyai rangkaian operasi antarabangsa melibatkan Indonesia dan Filipina setelah beroperasi sekian lama,” katanya.
Beliau berkata, seramai 15 ahli sindiket termasuk dalang utama, Datuk Maslan Sani, telah ditangkap, didakwa dan dibicarakan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.
“Hasil prosiding mahkamah, dua tertuduh termasuk ketua sindiket telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, manakala 11 lagi mengaku bersalah di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan.
“Dua lagi tertuduh yang merupakan pegawai polis diperintahkan membela diri dan perbicaraan dijangka selesai pada penghujung tahun 2026,” katanya.
Menurut Ayob, Op Morava menjadi penanda aras baharu dalam sejarah penguatkuasaan undang-undang negara serta membuktikan keberkesanan pendekatan memperkasakan tindakan terhadap sindiket dadah menerusi kerangka perundangan jenayah terancang.
Beliau berkata, pada 10 Jun lalu, satu Majlis Apresiasi Op Morava diadakan di Bukit Aman bagi menghargai komitmen 44 pegawai dan anggota PDRM yang terlibat menjayakan operasi berkenaan.
“Kejayaan ini membuktikan tiada yang mustahil sekiranya ada kesungguhan, komitmen dan keberanian untuk berfikir di luar kotak.
“Saya ‘salute’ (tabik) semua pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2
![[VIDEO] Flat Rohingya: Saya mengaku, salah tetap salah – Anak tuan tanah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ce4c08de-b9d2-4bbb-b148-eedd69ac43b8.jpeg)






![[VIDEO] Rohingya akan beranak-pinak, kerajaan tanggung RM30 juta kos rawatan setahun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rohingya.jpg)




































