MELAKA – Kutipan parkir RM3 yang tular didakwa dikenakan di Pantai Klebang sejak minggu lalu dan menjadi perdebatan di media sosial disahkan haram oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kutipan tersebut disyaki dilakukan oleh ‘ulat parkir’ susulan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengenakan bayaran.
“Hasil siasatan mendapati kutipan RM3 itu dilakukan individu yang tidak mempunyai permit atau lesen sah daripada MBMB. Ia bukan caj masuk ke Pantai Klebang seperti disangka ramai.
“Anggota penguat kuasa MBMB telah turun ke lokasi malam tadi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada kelibat ulat parkir kelihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di MBMB di Ayer Keroh, hari ini.
Semalam, tular di media sosial seorang pengunjung berkongsi resit bayaran parkir bernilai RM3 yang didakwa dikenakan di pantai pelancongan itu, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.
RESIT bayaran parkir RM3 yang tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengunjung di Pantai Klebang, Melaka.Mengulas lanjut Shadan berkata, kejadian itu adalah aduan pertama yang diterima membabitkan kawasan pelancongan di Pantai Klebang, meskipun isu sama pernah dilaporkan berlaku di beberapa lokasi lain sekitar pusat bandar, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan parkir perlu mendapatkan permit dan lesen daripada MBMB.
“MBMB menasihatkan pengunjung supaya tidak membayar sebarang caj parkir tanpa lesen sah dan pemantauan serta operasi penguatkuasaan akan terus dibuat bagi membanteras aktiviti kutipan parkir haram di kawasan tumpuan pelancong,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
9
















































