Tujuh lelaki ditahan, lima positif dadah dalam Op Bersepadu Motosikal

5 hours ago 2

IPOH – Polis menahan tujuh lelaki termasuk lima daripadanya positif dadah dalam Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan di Jalan Jelapang-Silibin, di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam operasi yang bermula pada pukul 12 tengah malam itu, sebanyak 157 motosikal dan 199 individu berusia antara 14 hingga 45 tahun telah diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 57 motosikal melakukan kesalahan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum tindakan sitaan diambil terhadap kenderaan terbabit.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Selain menahan lima individu yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine, tetrahydrocannabinol (THC) dan morfin, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi motosikal,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi yang sama, sebanyak 306 saman trafik dan empat kompaun dan notis Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, sebahagian besar individu yang diperiksa terdiri daripada pelajar sekolah menengah serta pelajar institusi pengajian awam dan swasta.

“Polis Perak akan terus melaksanakan operasi bersepadu seperti ini dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan samseng jalanan di negeri ini.

“Ini adalah antara usaha kita dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan khususnya di negeri Perak,” katanya.

Operasi bersepadu yang berakhir pukul 11.30 pagi itu melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak dan 14 pegawai dan anggota polis Bukit Aman.

Turut terlibat ialah 11 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), enam pegawai dan anggota JAS serta enam pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |